Zika: Orang ramai tak perlu cemas

Zika: Orang ramai tak perlu cemas

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Situasi penyakit virus Zika di rantau ini menunjukkan perkembangan di mana penyebarannya semakin meluas dan ketika ini telah merebak ke negara-negara jiran iaitu Singapura dan Malaysia.

Kementerian Kesihatan menyatakan perkara ini dalam kenyataannya setelah mengambil maklum tentang perkembangan status Zika di Negeri Sabah, Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia, kelmarin, telah melaporkan seorang lelaki berumur 61 tahun di Likas, Sabah telah dijangkiti Zika dan merupakan jangkitan tempatan pertama di negeri tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, walaupun tiada laporan kes jangkitan virus Zika di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan terus berjaga-jaga di samping mengukuhkan kapasiti dalam mencegah, mengesan dan mengawal jangkitan dalam negara dan telah mengadakan ‘Pelan Kesediaan bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Virus Zika, Negara Brunei Darussalam’ sebagai persediaan.

Jangkitan virus Zika disebabkan oleh virus yang dibawa oleh nyamuk Aedes Aegypti, iaitu nyamuk yang juga pembawa penyakit denggi dan chikungunya. Nyamuk Aedes merupakan nyamuk yang lazim didapati di negara-negara tropika termasuk Negara Brunei Darussalam.

Secara utamanya, jangkitan ini merebak daripada seorang individu yang mempunyai virus tersebut kepada individu yang sihat melalui gigitan nyamuk Aedes. Jangkitan juga pernah dilaporkan terjadi daripada ibu kepada anak dalam kandungan dan melalui hubungan kelamin.

Kebanyakan kes virus Zika tidak menunjukkan tanda-tanda penyakit, walau bagaimanapun, hanya segelintir pesakit akan mengalami tanda-tanda penyakit seperti demam, sakit otot dan sendi, pening kepala, merah mata dan ruam.

Jangkitan ini adalah lebih berisiko kepada wanita-wanita mengandung memandangkan ia boleh menyebabkan kecacatan pada anak dalam kandungan. Jangkitan virus Zika semasa kehamilan didapati menyebabkan mikrosefali (saiz kepala menjadi jauh lebih kecil) bagi anak damit dan beberapa lagi kecacatan otak janin yang teruk. Kajian semasa menunjukkan Guillain-Barre Syndrome (GBS), penyakit sistem saraf didapati berkaitan dengan Zika.

Walau bagaimanapun, hanya segelintir daripada mereka yang dijangkiti virus Zika mendapat GBS. Tidak ada rawatan khas atau vaksin untuk Jangkitan virus Zika. Rawatan adalah bertumpu kepada penjagaan sokongan untuk merawat tanda-tanda penyakit bila difikirkan perlu.

Kementerian Kesihatan turut menasihatkan orang ramai supaya tidak merasa cemas mendengar situasi terkini di Malaysia. Kita harus membuat pendekatan secara sepenuhnya sebagai sebuah negara yang bersatu dan setiap individu hendaklah memikul tanggungjawab dalam mencegah penularan virus Zika di Negara Brunei Darussalam.

Kaedah yang paling berkesan, menurut kenyataan itu, adalah dengan membasmi kawasan-kawasan pembiakan nyamuk.

Kebersihan alam sekitar adalah penting dan kita hendaklah memastikan bahawa bekas-bekas yang boleh bertakung air walaupun sedikit, dikosongkan, dibersihkan dan ditutup seperti bekas plastik, baldi, pasu-pasu bunga dan tayar. Pastikan juga kesemua longkang dibersihkan, berfungsi dengan betul dan tidak tersumbat, serta semua sampah sarap hendaklah dibuang dengan betul.

Selain daripada pembasmian kawasan tempat pembiakan nyamuk melalui pembersihan alam sekitar, kita juga harus mengambil langkah-langkah bagi mencegah diri sendiri daripada digigit nyamuk. Ini termasuk menggunakan pakaian yang panjang, longgar, berwarna cerah yang menutupi kulit, menggunakan racun penghalau nyamuk dan elakkan daripada berada di luar pada waktu subuh atau maghrib (melainkan perlu).

Berkaitan dengan larangan perjalanan, selari dengan garis pandu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kementerian Kesihatan tidak mengenakan larangan terhadap perjalanan ke negara-negara yang terjejas, atau pemeriksaan dan pengasingan pelancong-pelancong di pintu-pintu masuk. Walau bagaimanapun, wanita yang hamil dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membuat kunjungan yang tidak penting ke kawasan yang terjejas dengan Zika.

Jika seorang wanita hamil dengan pasangannya baru saja kembali daripada mengunjungi negara yang terjejas dengan Zika, pasangan tersebut hendaklah mengamalkan hubungan kelamin yang selamat atau menahan diri daripadanya sepanjang tempoh kehamilan tersebut.

Penting bagi setiap individu yang telah mengunjungi negara-negara atau ingin mengunjungi mana-mana negara yang terjejas dengan Zika dan kemudiannya mempunyai tanda-tanda jangkitan seperti demam, ruam, merah mata, pening kepala dan sakit otot dalam tempoh dua minggu selepas kembali ke Negara Brunei Darussalam untuk mengunjungi pusat kesihatan yang terdekat.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau perkembangan situasi dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dan rakan-rakan di dalam ASEAN.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak kementerian terus dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia serta menjemput kesemua pihak berkepentingan termasuk orang-orang awam untuk ikut serta sepenuhnya dalam usaha kebangsaan untuk mencegah dan mengawal jangkitan virus Zika dengan memastikan kebersihan alam sekitar.

Untuk maklumat lanjut mengenai virus Zika dan penyakit-penyakit bawaan nyamuk, orang ramai bolehlah mengunjungi laman sesawang Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA