Zika: Orang ramai tidak perlu cemas

Zika: Orang ramai tidak perlu cemas

KUCHING, 14 Sept – Orang ramai tidak perlu cemas berikutan satu kes jangkitan Zika disahkan di Miri tetapi mereka sebaliknya hendaklah bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan dan tempatan untuk mengelakkan penularannya.

“Jangan panik, jadi warganegara bertanggungjawab…yang penting ialah kita semua memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam dan persekitaran rumah kita, dan mengelak diri kita daripada gigitan nyamuk,” kata Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian.

Beliau berkata Pejabat Kesihatan Bahagian Miri telah menjalankan saringan ke atas 156 daripada 590 penduduk yang tinggal dalam lingkungan garis pusat 200 meter dari rumah pesakit yang disahkan dijangkiti Zika.

“Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada mereka menunjukkan tanda-tanda jangkitan Zika,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata langkah-langkah itu diambil berikutan kes dua adik-beradik berasal dari Miri, yang didapati sebagai kes jangkitan Zika kelima dan keenam yang disahkan di Malaysia.

Kes kelima membabitkan seorang wanita hamil dua bulan berusia 35 tahun dantinggal di Miri. Kakaknya, berusia 39 tahun, yang tinggal di Setapak, Kuala Lumpur telah dimasukkan ke hospital dan menunjukkan tanda-tanda jangkitan Zika selepas melawat adiknya di Miri dari 26 Ogos hingga 6 Sept.

Sim berkata, pada hari yang sama (6 Sept), adiknya dibawa ke klinik swasta kerana demam yang berpanjangan, ruam dan konjunktivitis, dan menambah ujian yang dijalankan oleh sebuah makmal perubatan swasta di Kuala Lumpur dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan positif Zika.

Beliau berkata pesakit pernah bekerja di Singapura sebelumnya dan kali terakhir beliau melawat Singapura ialah dari 24 hingga 29 Julai. Wanita itu dimasukkan ke Hospital Miri pada 11 Sept untuk pemeriksaan dan ujian lanjut dan dilaporkan dalam keadaan sihat dan stabil sekarang.

Dr Sim berkata spesimen darah wanita hamil itu juga telah dihantar ke IMR untuk mengenal pasti asal usul virus tersebut, sama ada ia berasal dari French Polynesia atau jangkitan tempatan. Beliau berkata, pemantauan dan pencegahan serta langkah-langkah kawalan vektor segera dijalankan di kawasan kediaman pesakit selepas dimaklumkan mengenai kes jangkitan oleh Pejabat Kesihatan Bahagian Miri pada 11 Sept.

Beliau berkata langkah-langkah itu termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk, ‘fogging’ dan pendidikan kesihatan untuk penduduk yang tinggal di kawasan kediaman.

Sim berkata 10 daripada 61 premis yang diperiksa didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes dan menambah 10 daripada 224 bekas air yang dijumpai di luar rumah telah diperiksa dan didapati positif tempat pembiakan nyamuk Aedes. – Bernama