Zikir rapatkan hubungan dengan Allah

Zikir rapatkan hubungan dengan Allah

Oleh Salawati Haji Yahya & Siti Nur Wasimah S

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Terdapat dua hubungan yang perlu disedari iaitu hubungan dengan manusia dan hubungan dengan Allah S.W.T.

“Hubungan sesama manusia ini alatnya adalah ICT manakala hubungan manusia dengan Allah pula ialah Zikir, di mana aplikasi dengan zikir ini akan menjalin hubungan manusia dengan Allah.”

Dua jenis hubungan ini dijelaskan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned semasa menyampaikan ceramah khas pada Majlis Ilmu sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun, hari ini.

Dalam ceramahnya yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas itu, Yang Berhormat Pehin turut mempersoalkan mengapa orang boleh berkawan rapat dengan ICT hingga tidak dapat berenggang dan berpisah tapi tidak dapat berkawan rapat dengan zikir dan Al-Quran.

Antara yang hadir mendengarkan ceramah khas yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan.
Antara yang hadir mendengarkan ceramah khas yang disampaikan oleh Mufti Kerajaan.

Dengan kesedaran dan tindakan bijaksana, jelas beliau, ia dapat mengaut keuntungan berganda daripada menggunakan dua alat perhubungan ini, walaupun keuntungan itu berbeza.

Sekali menggunakan ICT, kita akan mendapat satu ganjaran atau keuntungan manakala sekali kita menggunakan alat zikir atau Al-Quran, kita akan mendapat sepuluh ganjaran keuntungan, jelas Yang Berhormat Pehin.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, alat Zikir dan Al-Quran semuanya bersih, tidak ada masalah, tetapi dengan alat perhubungan ICT, kira sekali-kali tidak boleh melupakan faktor ‘kebajikan’.

“Jika faktor kebajikan ini dicuaikan, ganjaran baik akan hangus begitu saja dan jika ia digunakan untuk melakukan jenayah siber untuk melayari laman lucah dan digunakan untuk membuang masa tanpa tujuan, ganjaran baik tidak ada di sini dan pahala tidak berbangkit.”

Yang Berhormat Pehin menambah, yang berbangkit hanya dosa di mana dosa adalah punca musibah bukan punca selamat.

Sehubungan itu, Yang Berhormat Pehin mengingatkan bahawa Allah menilai amalan kita semua, kecil atau besar, banyak atau sedikit.