Zlatan bantu PSG mara ke final

Zlatan bantu PSG mara ke final

PARIS, 20 April (AFP) – Jaringan Zlatan Ibrahimovich pada babak kedua membawa Paris Saint Germain (PSG) ke pentas final Piala Perancis apabila juara bertahan itu menewaskan Lorient 1-0 dalam aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Penyerang antarabangsa Sweden itu menjaringkan gol 15 minit sebelum tamat perlawanan sekali gus membawa PSG untuk beraksi di pentas final yang berlangsung di Stade de France, 21 Mei depan.

PSG akan menentang pemenang perlawanan antara kelab Ligue 2, Sochaux atau musuh tradisi mereka, Olympique de Marseille yang akan turun beraksi awal pagi esok.

PSG yang tersingkir pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara untuk empat musim berturut-turut, minggu lalu berpeluang untuk melakar kejuaraan ‘treble’ dalam saingan domestik buat kali kedua berturut-turut.

Ibra meraikan jaringan dalam perlawanan Piala Perancis menentang Lorient di stadium Mostoit, barat Perancis kelmarin. – AFP
Ibra meraikan jaringan dalam perlawanan Piala Perancis menentang Lorient di stadium Mostoit, barat Perancis kelmarin. – AFP

Mereka ditabalkan sebagai juara Ligue 1, bulan lalu dan akan beraksi di pentas final Piala Liga menentang Lille, Sabtu ini. Bagaimanapun, PSG gagal beraksi pada tahap prestasi terbaik mereka di Lorient apabila hanya berjaya melakukan satu percubaan tepat pada babak pertama.

Hanya selepas waktu rehat mereka menunjukkan peningkatan dan menyaksikan Ibrahimovich menjaringkan gol ke-42 peribadinya dalam semua kejohanan musim ini.

Zargo Toure hampir menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki seminit tetapi tandukannya berjaya diselamatkan Salvatore Sirigu.

ARTIKEL YANG SAMA