Zon pengembaraan meriahkan Festival Irama Rimba Hidupan Liar Borneo

Zon pengembaraan meriahkan Festival Irama Rimba Hidupan Liar Borneo

SANDAKAN, 31 Julai (Bernama) – Penambahan aktiviti zon pengembaraan akan memeriahkan penganjuran Festival Irama Rimba Hidupan Liar Borneo edisi kedua pada Ogos ini.

Festival tersebut anjuran Pertubuhan Alam Masa Depan Borneo Sabah dengan kerjasama Tindakan Perlindungan Hidupan Liar di Sabah melalui Pendidikan diadakan pada 22 hingga 23 Ogos ini di Rainforest Discovery Center (RDC) Sepilok.

Pengerusi pertubuhan, Anton Ngui berkata festival itu bertemakan ‘Biodiversiti dan Masa Hadapan Kita’ dibahagi kepada empat zon iaitu pemuliharaan dan alam sekitar, kreatif, muzik dan pengembaraan.

Katanya di bawah aktiviti zon pengembaraan, tiga anggota kumpulan Moab Monkeys dari Utah, Amerika Syarikat dijemput khas pada festival itu untuk mempersembahkan Sarang Manusia diperbuat daripada tali.

“Ia bagi menarik minat lebih ramai golongan muda menghadiri festival itu untuk sama-sama menghargai dan membantu usaha memulihara alam semula jadi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Anton Ngui berkata di bawah zon kreatif dan muzik, program penayangan filem dari atas pokok hutan hujan akan dilakukan di kawasan laluan kanopi sedia ada di RDC oleh syarikat Salad Dressing Landscape dari Singapura.

Menurutnya beberapa pemuzik dari Kuala Lumpur dan tempatan juga akan mengadakan persembahan nyanyian dan muzik bertemakan alam semula jadi.

Artis-artis Sabah seperti Cracko Art Group, Pangrok Sulap, pereka barang kemas Jonathon Yun, penulis buku kanak-kanak Evi Shelvia dan artikel landskap Carolyn Lau akan menawarkan satu campuran bengkel untuk orang awam menggalakkan lagi penghargaan kepada persekitaran.