Zoo bukan pusat pameran haiwan

Oleh Fadzli Ramli

 

MELAKA – Zoo atau taman haiwan pastinya antara tempat yang menjadi tumpuan ramai sama ada pada hujung minggu mahu pun ketika musim perayaan atau cuti sekolah.

Kanak-kanak terutamanya pasti teruja apabila melihat pelbagai spesies haiwan yang sebelum ini tinggal di hutan belantara berada di hadapan mata mereka.

Mereka yang sudah dewasa juga pastinya menyimpan banyak kenangan indah mengikuti rombongan sekolah melawat taman haiwan sewaktu di bangku sekolah. Cuma sejauh mana kunjungan ke taman haiwan dapat menyemai rasa sayangkan haiwan dan mengambil berat terhadap kebajikan haiwan?

Kita ambil harimau sebagai contoh. Spesies haiwan ini iaitu Harimau Malaya menjadi kemegahan sehingga diangkat menjadi ‘pelindung’ kepada Jata Negara. Nama Harimau Malaya juga sinonim dengan pasukan bola sepak Malaysia dan ‘Speedy Tigers’ pasukan hoki kebangsaan.

Semakin pupus

Bagaimanapun, berapa ramai yang sedar spesies harimau ini semakin pupus dan keadaannya amat membimbangkan! Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia Malaysia, anggaran terkini menunjukkan terdapat hanya antara 250 hingga 340 ekor Harimau Malaya di Semenanjung Malaysia berbanding kira-kira 500 pada 1990 dan sekitar 5,000 ekor pada tahun 1950.

Adalah penting bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk berinteraksi dengan haiwan di zoo bagi menimbulkan semangat kesedaran melindungi haiwan terutama dalam kalangan generasi muda. – Bernama

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Zoo Melaka and Night Safari, R. Raja Segran, inilah cabaran terbesar yang dihadapi oleh setiap zoo iaitu menterjemah keseronokan terutamanya generasi muda yang melawat zoo kepada sifat sayangkan haiwan seterusnya melindungi haiwan itu daripada ancaman dan kepupusan.

Beliau juga menegaskan zoo bukan sekadar pusat pameran haiwan, sebaliknya ia memainkan peranan sebagai teraju utama dalam usaha pemuliharaan haiwan di negara ini. “Rakyat Malaysia sangat sayangkan Harimau Malaya. Malah pergi ke zoo di negara ini, haiwan pertama yang mereka cari selalunya Harimau Malaya. Jadi bagaimana kita dapat terjemah kasih sayang ini kepada usaha melindungi Harimau Malaya dan haiwan lain,” beliau memberitahu Bernama ketika ditemu bual baru-baru ini.

Pendidikan pengunjung

Raja Segran berkata dalam memastikan zoo memainkan peranan itu perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memberikan pendidikan tentang haiwan kepada pengunjung zoo. Pendidikan mengenai haiwan adalah penting antaranya kepada pengunjung generasi muda terutamanya kanak-kanak dan ini dapat dilaksanakan dengan memberikan mereka pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila berada di zoo.

“Senyum dan mesra dengan sepenuh hati adalah perkara yang saya paling titik beratkan di kalangan petugas zoo ini. Apabila kita sentiasa senyum dan mesra kepada pengunjung secara automatik akan timbul minat serta perasaan senang untuk mereka berada di zoo ini. Keadaan ini juga dapat membentuk hubungan mesra antara petugas dan pengunjung, yang mana ia memberikan suatu suasana kepada pengunjung untuk bertanya kepada petugas dan sesi pembelajaran yang baik mengenai zoo dan haiwan itu,” katanya.

Menurut beliau, satu lagi faktor yang penting dalam memberikan pendidikan kepada pengunjung ialah memberikan peluang kepada pengunjung untuk bermesra dan menikmati pengalaman bersama haiwan itu.

Interaksi haiwan

Beliau berkata inilah sebenarnya yang membezakan zoo sebagai sebuah pusat pameran haiwan dengan pusat pemuliharaan yang memastikan setiap spesies haiwan terpelihara.

“Jangan biarkan pengunjung pergi ke sebuah kandang haiwan, hanya membaca keterangan bertulis dan berlalu pergi. Kita wujudkan perasaan sayang pengunjung kepada haiwan dengan memberikan peluang kepada mereka memberi makan atau pun mendengar sendiri cerita mengenai haiwan daripada penjaga zoo.”

“Di zoo ini kita memberikan peluang untuk pengunjung memberi makan kepada pelbagai binatang antaranya gajah dan zirafah juga berinteraksi dengan memegang haiwan itu. Semasa waktu memberi makan Harimau Malaya, penjaga juga memberi penerangan.

Pengunjung diberi peluang untuk memberi makan kepada zirafah yang dilindungi dan dipelihara dengan baik di Zoo Melaka and Night Safari. – Bernama
Spesies Harimau Malaya yang menjadi kesayangan rakyat Malaysia dilindungi dan dipelihara dengan baik di Zoo Melaka and Night Safari. – Bernama

“Selain itu kita juga sediakan petting zoo khasnya untuk kanak-kanak di mana mereka boleh memberi makan, bermain dan memegang sendiri haiwan kecil seperti arnab. Ini memupuk sifat sayangkan haiwan seawal usia muda,” kata Raja Segran lagi.

Evolusi penjagaan haiwan

Bagi Raja Segran, dalam merealisasikan perkara ini, peranan seorang penjaga haiwan di zoo perlu dipertingkatkan daripada seorang yang hanya menjaga makan minum haiwan kepada seorang pencerita dan itulah yang cuba dilaksanakan di Zoo Melaka and Night Safari.

Menurut beliau lagi, penjaga haiwan bukan bekerja dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, sebaliknya satu tanggungjawab yang memerlukan minat dan semangat yang mendalam dalam usaha melindungi haiwan itu. “Inilah mindset yang kita perlu ada,” katanya. Menurut beliau zaman penjaga haiwan beri haiwan makan minum sahaja sudah berakhir dan orang ramai terutamanya ibu bapa perlu menukar mindset itu bagi memastikan kesedaran anak mereka serta generasi muda lain terhadap haiwan terus subur.

“Kami amat gembira apabila penjaga haiwan kami punyai minat dan semangat seperti ini, mereka sebenarnya amat menyayangi haiwan yang mereka jaga dan kenal sangat setiap haiwan mereka yang jaga Cuma tiada ruang untuk mereka menceritakannya. Jadi kita beri mereka mikrofon, tempatkan mereka di hadapan kandang haiwan bersama pengunjung dan minta mereka ceritakan tentang haiwan itu kepada pengunjung sambil beri makan. Mereka amat suka bercerita dan pengunjung lebih terhibur serta mengetahui pelbagai perkara mengenai haiwan itu,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini zoo itu mempunyai 25 orang penjaga haiwan yang pakar dalam menjaga haiwan masing-masing, serta sekitar 80 petugas pelbagai bidang di zoo itu. “Haiwan itu adalah majikan sebenar kami. Apa yang penting bagi kami sekarang ialah menyemai perasaan sayangkan haiwan itu kepada setiap petugas, sama ada petugas di pejabat mahupun di kandang haiwan. Kita perlu lengkapkan mereka dengan pengetahuan tentang haiwan.

“Kami mahu setiap petugas kami menjadi pencerita, mampu bercerita kepada pengunjung atau kepada semua yang mereka kenali tentang haiwan di zoo ini. Zaman seorang petugas buat satu kerja tanpa pedulikan pengetahuan mengenai haiwan itu sudah berakhir,” katanya.

Zoo milik kita

Menurut Raja Segran, pengunjung sering beranggapan zoo yang mereka kunjungi adalah milik agensi kerajaan atau syarikat pengurusan swasta. Beliau berkata zoo sebenarnya adalah milik masyarakat dan pengunjung zoo itu sendiri dan berperanan sebagai pusat rekreasi dan pembelajaran bagi sesebuah komuniti.

“Ini penting untuk sesebuah zoo itu untuk terus berkembang dan sokongan daripada masyarakat adalah penting. Masyarakat perlu datang dan memberi seokongan kepada zoo di tempat mereka. Malah di luar negara, masyarakat menawarkan diri menjadi anggota sukarela untuk zoo itu. Komuniti perlu ada perasaan zoo itu milik mereka dan mereka perlu bersama menyokong bagi memastikan zoo itu dapat terus berkembang,” katanya.

Zoo Melaka and Night Safari pada masa ini mempunyai kira-kira 600 haiwan daripada 150 spesies dari seluruh dunia. Zoo Melaka, ditubuhkan sejak 1963 di bawah penjagaan Kerajaan Negeri Melaka dan kemudian diswastakan pada November 2013 di bawah nama baru iaitu Zoo Melaka and Night Safari. – Bernama