Zoo Indonesia alami penyelenggaraan teruk

Zoo Indonesia alami penyelenggaraan teruk

BANDUNG, Indonesia, 12 Mei (AFP) – Gajah Sumatra, spesis yang amat terancam telah menjadi binatang terkini yang mati di dalam salah sebuah zoo Indonesia yang teruk penyelenggaraannya, menurut seorang pegawai hari ini, yang mengundang kemarahan dari para aktivis dan ahli politik.

Gajah betina, dipanggil Yani, mati di bandar Bandung di Pulau Jawa semalam selepas jatuh sakit selama seminggu sebelumnya. Kebanyakan zoo negara itu dalam keadaan teruk dan menempatkan binatang-binatang dalam kurungan yang sempit dan kotor. Yang paling teruk, ialah zoo di bandar Surabaya, yang digelar ‘zoo maut’ ketika ratusan binatang mati di sana.

Zoo Bandung berkata punca kematian Yani belum lagi dipastikan tetapi binatang itu nampak lesu sebelum dia mati dan gambar-gambar menunjukkan bengkak besar pada badannya. Usaha untuk menyelamatkannya terhalang kerana zoo itu tidak mempunyai veterinar menetap hampir setahun, jurucakap zoo Sudaryo mengakui.

Anggota sukarelawan bersedia untuk menggerakan Yani, gajah Sumatra yang berusia 37 tahun (Elephas Maximus Sumatranus), di Taman Zoo Bandung, Jawa Barat, Indonesia, Rabu lalu. – Xinhua
Anggota sukarelawan bersedia untuk menggerakan Yani, gajah Sumatra yang berusia 37 tahun (Elephas Maximus Sumatranus), di Taman Zoo Bandung, Jawa Barat, Indonesia, Rabu lalu. – Xinhua

Tetapi jurucakap itu menegaskan zoo itu telah berusaha sedayanya dengan merujuk kepada veterinar luar dan penjaga gajah telah memberikan ubat. Datuk Bandar Bandung Ridwan Kamil telah melawat gajah yang sakit itu sebelum ia mati, ketika kemarahan meningkat tentang kes ini, dan menggesa zoo dikendali oleh pihak swasta untuk meminta bantuan luar.

“Jika mereka tidak mempunyai belanjawan untuk mengurus zoo itu, mereka seharusnya meminta bantuan,” katanya. Rayuan di online yang menggesa zoo itu dibersihkan, yang telah mengumpul lebih 10,000 tandatangan, mengatakan binatang-binatang itu di sana nampak kurus kering dan kurungan kotor dan berkarat.

Zoo itu dilaporkan ditutup sementara ketika kematian gajah itu disiasat, menurut media tempatan. Seorang aktivis binatang Femke den Haas dari kumpulan hak asasi, Rangkaian Bantuan Binatang Jakarta, mengkritik ketiadaan peraturan jelas tentang bagaimana zoo-zoo Indonesia seharusnya dikendali berhubung saiz kurungan dan makanan.

ARTIKEL YANG SAMA