Zoo nafi Orang Utan bunting dirogol petugas

Zoo nafi Orang Utan bunting dirogol petugas

JAKARTA, 21 Dis (Bernama) – Pengurusan Zoo Surabaya hari ini menafikan laporan beberapa media tempatan dan luar negara yang mendakwa kononnya seorang petugasnya telah merogol seekor Orang Utan sehingga mengakibatkan haiwan itu bunting.

Portal berita Merdeka.com memetik Pemangku Direktur Utama Zoo Surabaya, Aschta Boestani Tajuddin sebagai berkata, laporan berita yang disiarkan baru-baru ini didapati palsu dan semua fakta dalam berita itu adalah tidak tepat.

Beliau berkata, tiada kes seumpama itu berlaku dan pihak pengurusan Zoo akan membuat laporan kepada Dewan Pers untuk tindakan.

Gambar fail menunjukkan papan tanda besar di bahagian pintu masuk Zoo Surabaya.
Gambar fail menunjukkan papan tanda besar di bahagian pintu masuk Zoo Surabaya.

Aschta Boestani berkata, antara fakta yang tidak tepat dalam laporan berita itu ialah kononnya nama Orang Utan yang didakwa bunting itu ialah Marilyn sedangkan tidak ada Orang Utan yang diberi nama Marilyn dalam zoo itu.

“Nama direkturnya juga salah dan tidak ada pegawai zoo yang bernama Akhiroel Yahya,” katanya.

Katanya, Orang Utan betina di zoo itu bernama Dora dan ia telah mempunyai dua ekor anak berumur dua dan lima tahun.