ZTE lancar telefon pintar dengan 3 ciri keselamatan biometrik pertama di dunia

ZTE lancar telefon pintar dengan 3 ciri keselamatan biometrik pertama di dunia

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) – Pembuat peranti mudah alih dunia, ZTE Malaysia hari ini memperkenalkan Axon Elite, telefon pintar pertama dunia yang dilengkapi pengesahan cap jari, kawalan suara dan biometrik imbasan mata.

Berharga RM1,999, termasuk cukai barang dan perkhidmatan, Axon Elite menawarkan keperluan standard tertinggi audio dan visual bagi pengalaman pengguna canggih.

“Selepas kejayaan dua pelancaran di Amerika Syarikat dan China bulan ini, kami bangga untuk meneruskan pelancaran dunia Axon Elite di sini yang boleh diperoleh pada pertengahan Oktober 2015,” kata Pengarah Peranti Kumpulan ZTE (M) Corporation Sdn Bhd Alex Yee semasa melancarkan telefon itu di sini, hari ini.

Beliau memberitahu Bernama, ZTE menyasarkan untuk mencapai empat peratus penguasaan pasaran pada 2016 dengan mewujudkan 200 kios di seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik kepada pelanggan.

Beribu pejabat di Shenzhen, China, ZTE muncul dengan peranti pintar di Malaysia pada 2014, dan kini menguasai satu peratus penguasaan pasaran.

“Kami mahu menjadi antara lima penjual peranti pintar di negara ini menjelang tahun depan, dan kami menyasarkan hasil meningkat kepada 15 peratus tahun ke tahun,” kata Yee dan menambah hasil ZTE di Malaysia berjumlah AS$18 juta tahun lepas.

Pada majlis itu, ZTE turut melancarkan tiga modal lain, Nubia Z9 Mini (RM1,239), ZTE Blade V6 (RM839) dan ZTE Blade A610 (RM639), yang juga tersedia bulan depan.

ARTIKEL YANG SAMA