Zverev tumpaskan Wawrinka

Zverev tumpaskan Wawrinka

SAINT PETERSBURG, 26 Sept – Juara Terbuka Amerika Syarikat, Stan Wawrinka dikejutkan dengan kekalahan kepada bintang muda Jerman, Alexander Zverev dalam aksi final Terbuka Saint Petersburg, awal pagi tadi.

Ia adalah kejuaraan pertama diraih pemain muda berkenaan dalam kalendar ATP selepas melakar kemenangan 6-2, 3-6, 7-5 ke atas lawan dari Switzerland itu.

Zverev, 19, tampil dengan corak permainan meyakinkan apabila dua kali berjaya mematikan servis Wawrinka untuk mendahului set pertama dalam tempoh 39 minit.

Di set kedua, pemain nombor tiga dunia, Wawrinka yang memenangi 11 aksi final ATP sebelum ini turut dua kali mematikan servis Zverev selepas perlawanan berlangsung selama satu jam 22 minit.

Alexander Zverev menewaskan juara Terbuka AS untuk memenangi kejohanan Terbuka St Petersburg. – AP
Alexander Zverev menewaskan juara Terbuka AS untuk memenangi kejohanan Terbuka St Petersburg. – AP

“Saya penuh emosi ketika ini, saya tidak boleh memilih tempat yang lebih baik bagi merangkul gelaran pertama saya, Zverev yang mempunyai darah kacukan dari Rusia.

“Ia adalah sukar apabila saya ketinggalan 0-3 di set penentuan tetapi saya paksa diri untuk terus bersaing. Dan kini, saya sangat gembira dengan kemenangan ini”.

Sementara itu, Wawrinka mengucapkan tahniah kepada pemain muda itu dan menyifatkan dia sebagai permata dalam arena tenis dunia.

“Kamu adalah masa depan sukan tenis tetapi kamu sudah pun berada di kemuncak. Hari ini kamu bermain dengan baik dan memang berhak untuk menang,” katanya. – AFP