1.02 juta lagi perlu divaksin untuk Sabah capai imuniti kelompok

KOTA KINABALU, 9 SEPT – Seramai 1.02 juta lagi penduduk dewasa Sabah perlu divaksin dalam usaha mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan COVID-19 di negeri itu, kata Pengarah Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin.

Beliau berkata setakat semalam, lebih 1.29 juta individu atau 47 peratus daripada populasi dewasa di Sabah telah melengkapkan kedua-dua dos manakala lebih 1.75 juta individu atau 63.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri.

“Sasaran Sabah adalah untuk mencapai 80 peratus (pemberian vaksin) dos pertama dan 60 peratus bagi dos dua pada 30 Sept ini.

“Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menggesa penduduk yang belum divaksinasi untuk datang secara jumpa terus ke mana-mana pusat pemberian vaksin terdekat manakala bagi penduduk yang tinggal di pedalaman atau kawasan sukar dicapai, boleh datang ke aktiviti ‘outreach’ di kawasan tersebut bagi mendapatkan vaksin COVID-19,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dr Rose Nani berkata vaksin diberikan secara percuma untuk semua individu tanpa mengira taraf kewarganegaraan dan penduduk tanpa dokumen juga diminta agar segera mendapatkan vaksinasi. – Bernama

Program vaksin Jabatan Kesihatan Sabah untuk penduduk kampung Tenghilan Tuaran Sabah, baru-baru ini. – Bernama