1.8 juta sertai ujian COVID-19 besar-besaran

HONG KONG, 15 SEPT – Hampir 1.8 juta penduduk Hong Kong menjalankan ujian koronavirus secara sukarela sebagai sebahagian daripada program ujian komuniti secara besar-besaran, hasil ujian mendapati 42 kes telah dikesan, menurut pihak kerajaan hari ini.

Program selama dua minggu, yang berakhir kelmarin, bertujuan untuk mengenal pasti mereka yang dijangkiti koronavirus secara senyap bagi menghapuskan rantaian jangkitan gelombang kes yang bermula pada Julai.

Walau bagaimanapun, jumlah keseluruhan mereka yang menjalani ujian kurang daripada jangkaan asal kerajaan iaitu seramai empat ke lima juta orang, menurut pegawai yang turut mengatakan bahawa program tersebut telah menepati objektifnya.

“Program berakhir dengan jayanya, kami telah menepati objektif dasar,” kata pemimpin Hong Kong, Carrie Lam berkata dalam sidang media.

“Kami telah mengenal pasti dan mengesahkan kes yang disahkan, kami telah mengasingkan mereka dan memberikan rawatan kepada mereka demi memutuskan rantaian jangkitan.”

Kerajaan pusat China memberikan peralatan dan kakitangan bagi menjalankan program ujian di bandar dan kebanyakan penduduk Hong Kong meluahkan kerisauan bahawa DNA mereka mungkin akan dikumpulkan meskipun kerajaan Hong Kong menafikan perkara tersebut.

Sejak kemuncak penularan pada Julai – yang menyalahkan pengecualian dari menjalani kuarantin kepada kakitangan penerbangan, pemandu trak dari tanah besar China dan anak kapal dari kapal kargo – kes dengan perlahan menurun.

Hong Kong melaporkan tiada jangkitan koronavirus setempat hari ini buat kali pertama dalam masa dua bulan.

Kerajaan turut berkata mereka akan melonggarkan langkah penjarakan fizikal, membuka semula bar, taman hiburan dan kolam renang. Restoran turut dibenarkan untuk menghidangkan makanan sehingga tengah malam. Namun, kerajaan masih melarang perhimpunan di tempat awam yang melebihi empat orang dalam satu tempat. – AP