1 dalam 3 mempunyai BMI lebih 30

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kira-kira 1,000 orang individu yang mengambil bahagian dalam Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan yang dijalankan sejak Februari lalu mendapati bahawa kira-kira satu dalam tiga mempunyai indeks jisim badan (BMI) yang lebih daripada 30 iaitu di bawah kategori obes.

Sementara itu, separuh telah dikesan menghidapi kadar kolesterol yang tinggi dan sebanyak 10 peratus telah dikesan menghidapi tekanan darah tinggi atau darah gula tinggi.

Hasil dapatan itu dikongsi oleh Ketua Unit Pencegahan Penyakit-penyakit Tidak Berjangkit, Kementerian Kesihatan, Dr Ong Sokking semasa sidang media Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal dan Kanser Payudara yang berlangsung di Pusat Kesihatan Berakas, Kampung Perpindahan Lambak Kanan, kelmarin.

Beliau juga menyatakan bahawa sebilangan individu yang menyertai program berkenaan tidak menunjukkan sebarang simptom penyakit-penyakit berkenaan dan mereka kelihatan
sihat.

Menerusi Program Pemeriksaan Kesihatan Kebangsaan itu, jelasnya lagi, pihaknya berjaya untuk mengesan tanda-tanda awal faktor-faktor risiko berkenaan dan daripada itu, mereka boleh melakukan perubahan gaya hidup yang lebih sihat menerusi perubahan kepada pemakanan yang sihat serta gaya hidup yang lebih aktif sebagi langkah-langkah pencegahan membanteras penyakit kardiovaskular.

Program diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan pada awal 2019 sebagai usaha untuk meningkatkan keberkesanan strategi pengawalan penyakit-penyakit tidak berjangkit, khususnya bagi faktor risiko kadiovaskular seperti penyakit tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol tinggi.

Program itu bertujuan untuk mengesan awal dan mengawal faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular serta mencegah daripada terjadinya komplikasi penyakit-penyakit berkenaan melalui rawatan awal.

Pemeriksaan kesihatan adalah satu cara pengesanan awal penyakit yang lazimnya dilakukan kepada orang yang tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala penyakit.

Penyakit yang dikesan pada peringkat awal adalah lebih mudah untuk dirawat dan dikawal serta boleh menggelakkan atau mengurangkan komplikasi penyakit pada masa yang akan datang.

Dr Ong Sokking memberikan penerangannya semasa sidang media Program Pemeriksaan Kanser Kolorektal dan Kanser Payudara, baru-baru ini.