Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    1 dalam 4 lelaki berisiko hidap kanser sepanjang hayat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Menurut anggaran daripada pendaftaran kanser kebangsaan, seorang dalam empat lelaki mempunyai risiko sebanyak 27 peratus untuk menghidap kanser sepanjang hayatnya, manakala risiko bagi seorang perempuan pula ialah 29 peratus atau seorang dalam tiga perempuan.

    Sementara itu, berdasarkan perangkaan pada 2020 yang diperolehi dari Daftar Kanser Negara Brunei Darussalam, sejumlah 806 orang warganegara dan penduduk tetap di negara ini telah dikesan menghidap penyakit kanser.

    Pada tahun yang sama, penyakit kanser telah menyebabkan 352 kematian dan dalam erti kata lain, penyakit kanser telah menyebabkan kira-kira satu dalam lima iaitu 20.8 peratus kematian di kalangan warga negara dan penduduk tetap di Negara Brunei Darussalam.

    Perangkaan tersebut dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Kanser Sedunia 2022 yang membawa tema ‘Tutup Kejurangan Penjagaan’.

    Selain itu, jumlah penghidap penyakit kanser juga telah menunjukkan peningkatan sebanyak 25.3 peratus dalam tempoh lima tahun pada tahun 2016 hingga 2020 berbanding dengan tahun 2011 hingga 2015.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam perutusannya mengongsikan tema Hari Kanser Sedunia akan tertumpu kepada isu-isu berkaitan dengan ekuiti, termasuk meningkatkan kesedaran mengenai kekurangan ekuiti dalam penjagaan penyakit kanser. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    Manakala, pada tahun 2020, antara jenis-jenis penyakit kanser yang tertinggi di kalangan lelaki adalah kolorektal (68 kes); prostat (39 kes) dan paru-paru (37 kes).

    Sementara di kalangan perempuan pula, penyakit kanser yang tertinggi adalah payudara (111 kes) diikuti oleh kolorektal (62 kes), korpus uteri atau rahim (62 kes) dan ovari (32 kes).

    Terdahulu dalam perutusan berkenaan, Yang Berhormat Dato menjelaskan Sambutan Hari Kanser Sedunia merupakan inisiatif global yang dipimpin oleh Persatuan Kawalan Kanser Antarabangsa yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit kanser dan bertindak dalam mencegah, mengesan dan merawat penyakit kanser dengan lebih baik.

    Menurut beliau lagi, tema bagi Hari Kanser Sedunia bermula tahun ini hingga 2024 akan tertumpu kepada isu-isu berkaitan dengan ekuiti, termasuk meningkatkan kesedaran mengenai kekurangan ekuiti dalam penjagaan penyakit kanser.

    Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengenal pasti segala halangan bagi orang ramai untuk mengakses perkhidmatan serta penjagaan kanser yang mereka perlukan.

    Menurutnya lagi, dengan adanya penutupan kejurangan penjagaan ini, segala halangan tersebut dan potensinya untuk mengurangkan peluang para individu untuk terselamat daripada penyakit kanser boleh dihindari.

    Menurut Persatuan Kawalan Kanser Antarabangsa (UICC), masyarakat boleh mengurangkan ketidaksamaan dan menutup jurang dalam penjagaan dengan melakukan beberapa perkara seperti meningkatkan pengetahuan pencegahan kanser, melengkapkan profesional penjagaan kesihatan termasuk bagaimana ketidaksamaan mempengaruhi penjagaan kanser.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...