1 kes baharu COVID-19 dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Negara Brunei Darussalam mencatatkan satu lagi kes baharu COVID-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes 190 orang.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, kes import ke-190 itu ialah seorang lelaki berumur 42 tahun yang tiba di negara ini dari Indonesia melalui Singapura pada 22 Februari lalu. Pengesanan kontak bagi kes tersebut masih giat dijalankan. Pada masa ini, pesakit berkenaan sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dengan kesemua kes aktif di sana dalam keadaan yang baik. Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (305 hari yang lalu), dengan jumlah kes import sebanyak 49 kes.

Selain itu, sejumlah 664 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 14,321 orang telah menamatkannya sejak Mac tahun lalu. Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 539 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 membawa jumlah keseluruhan ujian kepada 106,972.