Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Kementerian Kesihatan telah memaklumkan bahawa satu kes baharu COVID-19 telah disahkan di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 127 orang.
Kes 127 yang berumur tiga tahun adalah anak kepada kes 120. Kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan telah mula mengalami demam panas pada 21 Mac lalu.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini, juga memaklumkan kepada orang ramai bahawa empat lagi kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah, membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 38 orang.
“Ini bermakna terdapat 88 kes yang sedang dirawat di pusat berkenaan. Walau bagaimanapun, seorang lagi pesakit yang sebelum ini dalam pemantauan rapi kini berada dalam keadaan kritikal, membawa jumlah kes yang berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif di pusat tersebut kepada tiga orang. Manakala, seorang lagi masih di dalam pemantauan rapi dan selebihnya dalam keadaan yang baik,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Beliau juga memaklumkan bahawa empat daripada sembilan orang jemaah tabligh yang berada di Kuala Lumpur telah pulang ke tanah air pada 29 Mac lalu. Keempat-empat mereka ini telah disahkan positif COVID-19 semasa berada di Kuala Lumpur dan telah mendapat rawatan di hospital-hospital di Kuala Lumpur.

“Sementara itu, seramai 829 orang sedang menjalani kuarantin, menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, manakala seramai 1,389 orang lagi telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik dan sejak awal Januari lalu, sebanyak 5,980 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan,” tambahnya.
Selain itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa setakat ini, 531 orang telah mendaftar untuk menjalani pengasingan diri mandatori di rumah masing-masing selepas tiba di negara ini setelah membuat perjalanan antarabangsa, yang mana seramai kira-kira 346 daripadanya adalah penuntut.
“Sebahagian besar daripada mereka telah menghadirkan diri untuk menjalani ujian makmal bagi COVID-19,” katanya.
Yang Berhormat Dato menekankan bahawa sesiapa yang belum menjalani ujian makmal tersebut adalah dinasihatkan untuk menghadirkan diri ke Kompleks Sukan, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha dengan segera. Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan juga masih giat melaksanakan ujian makmal bagi COVID-19 terhadap mereka yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan,
“Setakat ini, daripada sejumlah 1,425 orang yang berdaftar di kemudahan-kemudahan tersebut, seramai 1,051 orang (kira-kira 72 peratus) telah menjalani ujian makmal. Sesiapa yang didapati positif bagi COVID-19 telah dibawa untuk rawatan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan juga ingin meminta kerjasama kepada sesiapa yang telah menjalani ujian makmal untuk memastikan nombor telefon bimbit yang diberikan kepada petugas-petugas adalah betul dan boleh menerima pesanan ringkas SMS.
Ini adalah kerana pihak Kementerian Kesihatan akan mengirimkan keputusan ujian makmal melalui pesanan ringkas (SMS) sebaik saja keputusan tersebut diperolehi. Inisiatif ini baru bermula pada 28 Mac 2020 dan masih melalui fasa percubaan.
Oleh yang demikian, berkemungkinan terdapat sedikit kelambatan dalam pengiriman SMS tersebut. Dalam pada itu, sesiapa yang telah menerima panggilan telefon dari Kementerian Kesihatan bagi keputusan ujian makmal masing-masing tidak akan lagi menerima keputusan melalui SMS.
Mengenai dengan mesej yang tular berkenaan pencarian kontak bagi salah seorang kes yang telah disahkan positif COVID-19, Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa kes tersebut telah dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan untuk rawatan sejak 28 Mac lepas dan telah kekal berada di pusat tersebut sejak tarikh berkenaan.
“Walau bagaimanapun, untuk membantu penyiasatan lanjut mengenai kes ini, Kementerian Kesihatan ingin meminta sesiapa yang ada mempunyai kontak bersama dengan kes tersebut di antara 10 hingga 15 Mac 2020 untuk menghubungi talian 2380665 atau 8163065 (semasa waktu pejabat sahaja).
“Dalam pada itu, kerjasama dan timbang rasa orang ramai adalah juga dipohonkan untuk menghentikan penularan mesej berkenaan demi untuk menjaga privacy kes berkenaan,” tegas Yang Berhormat Dato.