1 kes import baharu dikesan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 APRIL – Negara Brunei Darussalam hari ini mengesan satu kes import baharu jangkitan COVID-19 setakat jam 12 tengah hari, menjadikan kes keseluruhan 215 orang.

Kes 215 merupakan seorang wanita berusia 30 tahun yang tiba di negara ini dari Bangkok,
Thailand melalui Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.

Penyiasatan dan pengesanan kontak terdekat kes ini mendapati satu kontak terdekat kes tersebut namun ujian awal menunjukkan kontak itu negatif virus SARS-CoV-2.

Sementara itu, tiada kes sembuh telah dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang masih aktif kepada 14 kes.

Kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan adalah dalam keadaan yang baik.

Dalam pada itu, Negara Brunei Darussalam telah memvaksin sejumlah 2,560 orang setakat 6 April dengan 1,801 orang di Daerah Brunei dan Muara, 287 orang di Daerah Tutong, 312 di Daerah Belait dan 160 orang di Daerah Temburong.

Menurut kenyataan itu lagi, negara mencatatkan kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 (336 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 74 kes.

Selain itu, sejumlah 554 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala sejumlah 16,230 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.