Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Negara Brunei Darussalam mencatatkan 1 kes import baharu jangkitan COVID-19, menambah jumlah keseluruhan kes kepada 241 orang.
Kes 241 merupakan lelaki berusia 43 tahun tiba di Brunei dari Manila pada 24 Mac 2021 dan telah menjalani ujian swab RT- PCR pada 24 Mei 2021 di mana keputusan awal menunjukkan beliau positif bagi SARS-CoV-2.
Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan di sini hari ini, ujian-ujian lanjut yang dilakukan pada 26 Mei 2021 menunjukkan bahawa kes ini adalah kes jangkitan yang lama dan besar kemungkinan kes ini dijangkiti sebelum tiba ke Negara Brunei Darussalam.
Kes itu juga disahkan sebagai kes jangkitan lama yang tidak boleh menjangkiti orang lain dan kes ini turut diklasifikasikan sebagai kes import.
Manakala itu, satu kes jangkitan COVID-19 dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah kes sembuh kepada 229 orang dengan sebanyak 9 kes aktif sedang dirawat serta 3 kematian.
Kesemua kes aktif yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan berada dalam keadaan yang baik.
Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 386 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 100 kes.
Manakala setakat pukul 12 tengah hari, jumlah mereka yang sedang menjalani pengasingan diri mandatori ialah seramai 795 orang dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 18,765 orang.
Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 630 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 127,264 ujian.
Dalam pada itu, program vaksinasi negara turut berjalan baik dengan sejumlah 45,802 orang telah pun menerima dos satu dan dua vaksin setakat 26 Mei, dengan 32,679 di Daerah Brunei dan Muara, 5,544 di Daerah Belait, 5,115 di Daerah Tutong serta 2,464 di Daerah Temburong.
Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, BruHealth.