1 kes import baharu setelah 91 hari

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Setelah 91 hari tanpa kes baharu, Negara Brunei Darussalam hari ini telah mencatatkan satu kes baharu jangkitan COVID-19 yang disahkan oleh Kementerian Kesihatan, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 seramai 142 orang.

Kenyataan tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, kes 142 ialah seorang lelaki warga tempatan berumur 24 tahun yang menuntut di Yaman.

Beliau pulang ke tanah air pada 5 Ogos 2020 dengan menaiki penerbangan Royal Brunei BI874 (tempat duduk 44K) dari Kuala Lumpur.

“Walaupun beliau dilaporkan telah mengalami sesak nafas pada 6 Ogos 2020, beliau pada masa ini berada dalam keadaan yang baik, tidak lagi mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan dan sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bersama Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman ketika sidang media di Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani

“Penyiasatan telah mengenal pasti 13 kontak kes yang mana kesemuanya sedang menjalani kuarantin dan akan menjalani ujian swab COVID-19 sebagaimana yang diaturkan.

“Memandangkan kes ini telah dibawa ke pusat pengasingan sebaik saja tiba di negara ini, orang ramai dinasihatkan untuk tidak cemas kerana kes ini tidak mempunyai sebarang interaksi dengan ahli keluarganya atau orang lain sejak tiba di negara ini,” tekan Yang Berhormat Dato.

Sementara itu, sebagaimana arahan pengasingan diri mandatori selama 14 hari yang dikeluarkan pada 20 Mac lalu bagi mereka yang baru tiba ke negara ini, seramai 564 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di fasiliti-fasiliti pemantauan yang disediakan oleh kerajaan. Sejak Mac 2020, seramai 3,938 orang telah menamatkan tempoh pengasingan diri tersebut.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengongsikan bahawa dalam tempoh 24 jam, sebanyak 542 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 43,312 ujian.

Yang Berhormat Dato semasa sidang itu turut menekankan kepentingan bagi orang ramai untuk terus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan dan membudayakan langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan.

“Ini termasuklah sedaya upaya mengamalkan penjarakan fizikal di mana saja berada, mengelakkan ke tempat-tempat sesak, memakai penutup mulut dan hidung apabila tidak dapat mengelakkan diri dari pergi ke tempat-tempat sesak, di samping mengamalkan kebersihan diri seperti kerap mencuci tangan dan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul,” tekannya.

Sementara itu, beliau juga mengongsikan mengenai hasil pemantauan bagi penguatkuasaan arahan-arahan yang telah dikeluarkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 yang mana pada minggu ini sahaja lapan operasi telah dijalankan di seluruh negara di mana 11 denda kompaun telah dikeluarkan.

“Kes-kes yang tidak mematuhi arahan-arahan ini melibatkan premis-premis makanan seperti restoran, salun kecantikan dan kesihatan serta kedai gunting rambut di mana kesalahan utama yang didapati ialah pekerja-pekerja tidak memakai penutup mulut dan hidung,” kongsinya.

Selain itu, Yang Berhormat Dato juga memberikan peringatan kepada pemilik-pemilik restoran untuk mematuhi segala peraturan dan arahan khususnya memakai penutup mulut dan hidung manakala bagi salun kecantikan dan kesihatan untuk menggunakan penutup mulut dan hidung serta apron.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.