1 kes import dicatat, jumlah keseluruhan kini 232 orang

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Satu kes import baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan setakat jam 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 232 orang.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya, menjelaskan kes 232 ialah seorang perempuan berumur 24 tahun yang tiba ke negara ini dari Jakarta pada 29 April 2021 dan beliau mengalami selesema sejak 11 Mei 2021.

Penyiasatan dan pengesanan kontak mengesahkan tidak ada kontak terdekat bagi kes itu memandangkan beliau telah dikuarantin sebaik saja tiba ke negara ini dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan dan pengasingan diri beliau telah mengikut SOP yang sedia ada.

Sementara itu, tiada kes sembuh dicatatkan pada hari ini, menjadikan kes yang aktif kepada 9 kes dengan kesemua kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dalam keadaan yang baik.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 adalah pada 6 Mei 2020 (372 hari yang lalu), di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan adalah sebanyak 91 kes.

Selain itu, seramai 524 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, manakala 18,093 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 184 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 123,068 ujian.

Manakala sebanyak 27,074 jumlah keseluruhan dos pertama dan kedua telah diberikan sejak Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19 diimplementasikan pada 3 April lalu.

Menurut kenyataan, jumlah mereka yang sudah menerima dua dos lengkap adalah seramai 5,538 orang manakala 21,536 adalah mereka yang baharu menerima dos pertama, setakat 12 Mei 2021, jam 5 petang.