1 kes positif, Canberra kurung semua

SYDNEY, 12 OGOS – Canberra hari ini melaksanakan perintah berkurung selama seminggu selepas mengesan satu kes positif COVID-19 di bandar raya itu.

Ketua Menteri, Andrew Barr mengarahkan kira-kira 400,000 penduduk yang tinggal di bandar raya itu diletakkan di bawah perintah berkurung, mesti berada di rumah bermula jam 5 petang (waktu tempatan), sekali gus menyertai jutaan orang di tenggara Australia yang sebelum ini sudah dikenakan perintah yang sama.

“Kita sedang berdepan dengan risiko kesihatan awam yang paling serius pada tahun ini. Malah, sejak pandemik bermula,” katanya.

Beliau berkata, pesakit COVID-19 pernah berada dalam kalangan komuniti dan dikhuatiri boleh berjangkit dengan mudah.

Canberra tidak pernah dikenakan perintah berkurung sejak sekatan itu dilaksanakan di seluruh negara pada peringkat awal pandemik pada 2020.

Kebanyakan kawasan di barat negeri New South Wales juga dikenakan perintah berkurung sejak semalam, berikutan penularan varian Delta. – AFP