1 kes sembuh, dua lagi masih aktif

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JAN – Satu kes jangkitan COVID-19 dilaporkan sembuh dan ini menjadikan jumlah kes sembuh kepada 169 orang dengan dua kes aktif sedang dirawat.

Di samping itu, tiada kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan dan jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kekal pada 174 orang serta tiga kematian.

Kes terakhir jangkitan tempatan dilaporkan pada 6 Mei iaitu 256 hari yang lalu dan jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah 33 kes. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini, seramai 670 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan jumlah mereka yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 ialah seramai 11,362 orang.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 381 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 87,211 ujian.

Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, BruHealth.