1 lagi disahkan positif, 9 sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Kementerian Kesihatan hari ini memaklumkan bahawa satu lagi kes baharu yang telah disahkan dijangkiti COVID-19 di negara ini, yang membawa jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada seramai 134 orang.

Kes 134 berumur 22 tahun adalah seorang pelajar dan warga tempatan yang telah pulang ke negara ini dari Amerika Syarikat melalui United Kingdom dengan menaiki pesawat Royal Brunei BI004 (tempat duduk 36G) yang tiba pada 29 Mac lalu.

Beliau telah menjalani pengasingan diri sebaik saja tiba ke negara ini dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan.

Kenyataan tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini, bertempat di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Dato juga memaklumkan sembilan lagi kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah, membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 65 orang. Ini bermakna terdapat 68 kes yang masih dirawat di pusat berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media mengenai statistik terkini wabak COVID-19 di negara ini. Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manaf bin Othman.

“Daripada jumlah tersebut, tiga orang masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif di pusat tersebut di mana salah seorang daripadanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

“Sementara itu, selebihnya adalah dalam keadaan yang baik,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Sementara itu, pada masa ini, seramai 440 orang sedang menjalani kuarantin, menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 1,898 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.

Menurut beliau, sejak awal Januari 2020, sebanyak 7,566 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan, yang membawa nisbah kepada satu dalam 57 orang ramai yang sudah dibuat pemeriksaan bagi COVID-19.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.