1 lagi kes baharu COVID-19

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Negara Brunei Darussalam mengesahkan satu lagi kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 138 orang.

Kes 138 berusia 50 tahun, merupakan kontak keluarga kepada kes 33 yang menjalani ujian makmal pada 13 Mac semasa kes 33 mula-mula dikesan dan didapati negatif. Beliau didapati positif selepas ujian susulan ke atas kes 33 kelmarin (18 April), tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan dan kes itu masih lagi dalam siasatan lanjut.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) mendedahkan perkara itu pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, dua lagi kes aktif telah disahkan sembuh daripada COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 115 orang.

“Ini membawa jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini kepada 22 kes. Daripada jumlah tersebut, di mana dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal dan kedua-duanya memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) di samping bantuan mesin pernafasan. Selebihnya adalah dalam keadaan yang baik,” kongsi Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.

Selain itu, seramai 125 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin ialah sebanyak 2,408 orang.

“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 218 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 11,472 ujian.

Mengenai dengan kes yang telah sembuh tetapi didapati positif semasa pemeriksaan susulan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan memaklumkan bahawa dua lagi kes sedemikian telah dikesan manakala seorang daripada mereka yang sedang berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah dibenarkan pulang.

Menurutnya, jumlah keseluruhan kes yang sedemikian pada masa ini ialah seramai 18 orang di mana 13 orang masih menjalani pemeriksaan dan ujian lanjut.

Yang Berhormat Dato turut mengingatkan orang ramai bahawa sebarang aktiviti perkumpulan ramai di tempat-tempat awam, terutama di taman dan hutan rekreasi, pantai-pantai dan tasik-tasik adalah tidak dibenarkan sama sekali. Ini susulan maklumat yang diterima oleh Kementerian Kesihatan mengenai terdapat sesetengah orang awam telah mengadakan perhimpunan beramai-ramai di tempat-tempat awam seperti di taman dan hutan rekreasi pada hari ini.

“Orang ramai perlu melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan kerana kes baharu pada hari ini membuktikan negara kita masih lagi berada di bawah ancaman wabak COVID-19 dan kita perlu untuk terus berjaga-jaga dan tidak leka serta sentiasa mematuhi arahan-arahan dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” tekan Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.