1 mati, 9 hilang terowong runtuh di Kashmir

SRINAGAR, 20 MEI – Para penyelamat telah menemui mayat seorang pekerja di wilayah kawalan India, Kashmir selepas sebahagian terowong runtuh di rantau Himalaya itu dan sedang meneruskan usaha-usaha mencari sembilan lagi pekerja yang terperangkap.

Pegawai hari ini mengatakan terowong yang merupakan sebahagian daripada sistem terowong lebuh raya di pergunungan sedang dalam pembinaan ketika ia runtuh malam kelmarin di daerah selatan, Ramban.

Pegawai kerajaan di Ramban, Mussarat Islam mengatakan mayat seorang pekerja dari timur negeri Bengal Barat telah ditemui.

Beberapa lagi kru sedang bekerja keras cuba menyelamatkan sembilan pekerja yang masih hilang.

“Kami berharap dapat menemui mangsa yang hidup,” katanya.

Penyelamat menggunakan jentolak untuk mengalihkan serpihan dalam usaha menyelamatkan pekerja yang terperangkap. – AFP

Pekerja penyelamat menjauhi jentolak ketika ia menggali kawasan terowong yang runtuh di daerah Ramban, selatan Srinagar, Kashmir, India, 20 Mei. Seorang maut dan sembilan lagi masih terperangkap dalam runtuhan itu. – AP