Sunday, January 26, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    1 maut, 14 cedera, motosikal sarat dengan bahan letupan meletup di Colombia

    BOGOTA, 8 DIS – Sebuah motosikal yang sarat dengan bahan letupan meletup di sebuah pusat pemeriksaan polis di barat daya Colombia kelmarin, menyebabkan pemandunya terbunuh dan 14 orang lain cedera, menurut pihak berkuasa.

    Pegawai polis sedang menjalankan pemeriksaan di kawasan Las Penas, dalam wilayah Jamundi, untuk mencegah kemungkinan keganasan oleh kumpulan bersenjata haram, kata Komander Polis Metropolitan Cali, Kolonel Carlos Oviedo, kepada wartawan.

    Pemandu motosikal tersebut dilaporkan panik dan meletupkan bahan letupan itu apabila diminta berhenti di pusat pemeriksaan, kata Oviedo. Insiden itu menyebabkan pemandu tersebut terbunuh dan mencederakan tujuh orang awam serta tujuh pegawai polis. Salah seorang pegawai dilaporkan dalam keadaan kritikal dengan prognosis yang “dirahsiakan,” tambahnya.

    Kumpulan jenayah menjadikan Jamundi lokasi strategik kerana terdapat ladang daun coca, yang digunakan untuk menghasilkan kokain, dan kawasan itu juga dihubungkan dengan pelabuhan Buenaventura.

    Kumpulan jenayah terancang Jaime Martinez aktif di kawasan tersebut. Ia terdiri daripada anggota bekas Pasukan Revolusi Bersenjata Colombia (FARC) yang tidak menerima perjanjian damai 2016 dengan kerajaan.

    Serangan menggunakan bahan letupan terhadap anggota tentera dan polis, yang disyaki dilakukan oleh kumpulan bersenjata haram, terus berlaku walaupun Presiden Colombia, Gustavo Petro berusaha untuk merundingkan perjanjian damai dengan pasukan tidak teratur menerusi strategi yang dikenali sebagai total peace.

    Pejabat Ombudsman menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan di Jamundi dan menggesa pihak berkuasa untuk memastikan perlindungan serta keselamatan rakyat. – AP

    Penyiasat forensik memeriksa mayat seorang lelaki yang maut apabila motosikal sarat dengan bahan letupan meletup di pusat pemeriksaan polis di komuniti Las Penas di Jamundi, Colombia pada 7 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda