Monday, December 9, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    1 Maut, 27 cedera letupan di kilang Bangkok

    BANGKOK, 5 JULAI – Satu letupan berhampiran lapangan terbang antarabangsa di bandar raya Bangkok, Thailand hari ini meragut satu nyawa anggota bomba dan mencederakan 27 yang lain, manakala kilang plastik terbabit ranap terbakar.

    Asap hitam tebal kelihatan menyelubungi langit tapak terletak 35km dari pusat bandar itu, ketika penyelamat terus memindahkan penduduk berhampiran tapak kejadian.

    Letupan berlaku sekitar jam 3 pagi di kilang plastik berpangkalan di Taiwan, Ming Dih Chemical Co, di pinggir bandar Bangkok berhampiran lapangan terbang Suvarnabhumi.

    “Terdapat 27 yang cedera, kebanyakannya akibat luka dan seorang mati yang merupakan anggota bomba,” kata Somsak Kaewsena, ketua daerah Bang Pli di mana kilang itu terletak.

    Dia memberitahu AFP bahawa 500 penduduk setakat ini sudah dipindahkan ke dua tempat perlindungan.

    Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran pada tapak letupan besar di Samut Prakan, Thailand, 5 Julai. Letupan besar di kilang plastik itu meragut satu nyawa dan merosakkan kediaman di sekitarnya. – AP

    Menjelang petang, penduduk warga emas berkerusi roda dipindahkan ke sekolah berhampiran kira-kira 9km jaraknya.

    Penduduk diarahkan untuk menjauhkan diri sekitar radius 500 meter dari tapak letupan, kata Leftenan Jeneral Ampon Buarubporn.

    “Kita tidak tahu sama ada terdapat barangan lain yang mungkin meletup,” katanya, menambah bahawa pihak berkuasa masih lagi bekerja untuk mengawal api.

    Pekerja penyelamat memandu ke sekitar kejiranan dalam van kecemasan, memaklumkan beribu-ribu penduduk melalui pembesar suara untuk berpindah dari tempat mereka bagi keselamatan diri mereka.

    Punca letupan masih lagi belum diketahui. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda