1 maut, 43 cedera gempa di Filipina

MANILA, 18 OGOS – Sekurang-kurangnya seorang maut manakala 43 orang lagi cedera dalam gempa berkekuatan 6.6 pada skala Richter yang menggegarkan wilayah Masbate di Filipina hari ini, menyaksikan orang ramai melarikan diri dari rumah dan bangunan serta jalan raya yang rosak, lapor agensi berita Xinhua, memetik polis tempatan.

Dalam buletin yang dikemas kini, Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs) menyatakan, gempa itu berlaku pada 8:03 pagi waktu tempatan, pada kedalaman 21 km, kira-kira tujuh km tenggara bandar Cataingan di wilayah Masbate.

Kolonel Polis Joriz Cantoria daripada polis wilayah Masbate menyatakan dalam laporan awal bahawa seorang pesara polis mati setelah ditimpa tembok yang runtuh di rumahnya.

Cantoria berkata gegaran turut merosakkan sejumlah besar rumah, jalan dan bangunan, termasuk pelabuhan bandar tepi pantai dan pasar awam, terutamanya di Cataigan, sebuah bandar yang mempunyai populasi 50,000 orang beberapa kilometer dari pusat gempa di Laut Samar.

“Masbate sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat,” tambah Cantoria.

Phivolcs menyemak semula magnitud gempa Masbate kepada 6.6 daripada skala sebelumnya 6.5 pada pagi Selasa.

Institut itu menyatakan puluhan gempa susulan turut dicatatkan.

Filipina sering mengalami aktiviti seismik kerana lokasinya di sepanjang ‘Lingkaran Api’ Pasifik. – Bernama/AFP

Seorang sukarelawan Palang Merah Filipina memeriksa retakan di jalan raya selepas gempa bumi kuat melanda Cataigan, wilayah Masbate di tengah Filipina, 18 Ogos. Gempa bumi itu meragut satu nyawa dan mencederakan 43 yang lain. – AP