1 maut, 5 hilang dalam nahas helikopter

ATHENS/OTTAWA, 1 MEI – Mayat kelasi warganegara Kanada telah dijumpai di tengah-tengah serpihan helikopter tentera yang terhempas semasa operasi NATO di tengah laut antara Greece dan Itali, kata pegawai kelmarin.

Usaha mencari diteruskan untuk lima orang kru dari helikopter Cyclone Sikorsky CH-148, yang dalam perjalanan pulang dari kapal perang HMCS Frederiction selepas misi latihan apabila terputus hubungan pada malam Rabu.

“Kelmarin, helikopter Tentera Laut Diraja Kanada yang dalam misi NATO, membawa enam orang anggota Tentera Bersenjata Kanada, telah terhempas di laut persisiran pantai Greece,” kata Perdana Menteri Justin Trudeau di Ottawa.

“Seorang mangsa kejadian telah dijumpai dan lima lagi masih hilang,” katanya pada sidang media.

Pegawai tentera Greece memberitahu AFP bahawa serpihan telah dijumpai ‘dalam zon kawalan dan campur tangan Itali’, menyatakan bangkai kapal itu milik helikopter Kanada.

Kapal perang Kanada dan helikopter pemburu kapal selam sedang menjalankan misi NATO selama 100 hari, yang bertujuan untuk menyekat Rusia. Lebih daripada 900 tentera Kanada telah dikerahkan – kebanyakannya di Timur Eropah – sebagai sebahagian Operasi Jaminan. Ia merupakan penghantaram tentera antarabangsa terbesar di Kanada pada masa ini.

Menteri Pertahanan Kanada, Harijit Sajjan berkata punca kemalangan masih tidak diketahui, tetapi api isyarat automatik ditemui di perairan beberapa saat selepas hubungan terputus. – AFP