$1 untuk beg plastik

Saya telah membaca beberapa surat yang dihantar dan disiarkan melalui The Opinion Page di Borneo Bulletin yang menekankan mengenai penggunaan plastik khususnya di Negara Brunei Darussalam.

Selaku seorang yang kerap berkunjung ke kawasan Bandar Seri Begawan, saya sering kali terkejut apabila terlihat bilangan beg, cawan, sudu dan garpu plastik yang berselerakan di kawasan jalan raya.

Saya dapat rasakan penggunaan plastik sangat tinggi di Brunei Darussalam.

Kita sudah menyedari bahawa gedung-gedung perniagaan sudah tidak memberikan beg plastik lagi akan tetapi bagaimana pula dengan gerai makan atau kedai-kedai runcit?

Walaupun ketika saya hanya membeli satu botol atau satu tin minuman, juruwang di kedai yang sering saya kunjungi, akan selalu menawarkan beg plastik.

Akan tetapi, saya selalu menolak dan dia kelihatan seperti terkejut dengan tindakan saya.

Saya yakin kedai ini mampu menarik sekitar 50 pelanggan setiap hari, cuba anda bayangkan jika dia memberikan sebanyak 50 beg plastik sehari, apakah yang akan terjadi pada beg plastik itu?

Sebaik sahaja pelanggan mengambil minuman atau makanan di dalam beg plastik itu, dia akan membuang plastik itu. Apakah manfaat yang diperoleh oleh pelanggan? Tidak ada. Ia hanya menambah kerosakan terhadap persekitaran kita.

Saya rasa cara yang terbaik untuk mengelakkan penggunaan beg plastik adalah dengan mengenakan bayaran sebanyak $1 untuk setiap satu beg plastik yang diberikan di setiap kedai-kedai kecil mahupun besar.

Sebagai contoh, jika seseorang itu membayar barang di kedai dan dia akan dikenakan bayaran sebanyak $1 untuk beg plastik, pastinya pelanggan itu tidak akan mahu menerima beg plastik tersebut.

Dengan cara ini, kita akan dapat mengelakkan penggunaan plastik khususnya di kedai, tamu dan pondok-pondok makan.

Saya rasa, kita perlu bermula dari sekarang, justeru menghentikan penggunaan plastik.

Plastik boleh menyebabkan kerosakan yang teruk khususnya terhadap laut dan persekitarannya. Saya berharap orang ramai akan bersama-sama berganding bahu untuk memastikan persekitaran kita bebas dari plastik.

Saya juga bertepuk tangan kepada komuniti yang mengungkayahkan pembersihan pantai dari sampah.

Saya rasa kita perlu menggalakkan orang ramai untuk turut serta dalam aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti ini. – Katakan tidak pada plastik