Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jan – Seramai 10 orang ahli Pengawasan Kejiranan Kampung (PKK) Kawasan 3 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan menerima surat pelantikan masing-masing dalam satu majlis yang berlangsung di kediaman ketua kampung Kawasan 3, RPN Lambak Kanan, di sini, hari ini.
Surat pelantikan tersebut telah disampaikan oleh Penghulu Mukim Berakas ‘B’, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon dan Ketua Kampung Kawasan 3, Haji Mahir bin Mohd Yusof.
Haji Mahir menjelaskan bahawa tempoh pelantikan tersebut akan berjalan selama lima tahun yang mula berkuat kuasa pada tahun 2015 hingga 2020.


Beliau juga berharap agar ahli-ahli yang baru dilantik supaya akan bekerjasama menjaga keselamatan kampung seperti mana yang diamanahkan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei dalam menangani jenayah dan kegiatan yang tidak sihat di kampung tersebut.
Beliau seterusnya menjelaskan, tugas dan peranan bagi ahli PKK ini adalah mengadakan rondaan bersama Pasukan Polis Diraja Brunei ke tempat-tempat yang dikenal pasti.
Turut hadir menyaksikan penyampaian surat lantikan tersebut, Sgt 3094 Azlan bin Haji Emrin dari Unit PKK, Balai Polis Berakas.