10% bajet diperuntukkan rangsang pelancongan

HONG KONG, 4 MAC – Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) akan melancarkan strategi jangka pendek, sederhana dan panjang yang bernilai HKD1.138 bilion.

Menurut Pengarah Eksekutif HKTB, Dane Cheng Ting-yat strategi itu bertujuan merancakkan lagi industri pelancongan.

Mengikut rancangan pekerjaan tahunan 2021-2022 yang diumumkan kelmarin, 10 peratus daripada belanjawan yang diperuntukkan kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong tersebut akan digunakan bagi mempromosikan sumber pelancongan di kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macau.

Dalam sidang media sama, Dane Cheng turut mengakui bahawa sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan lagi diperlukan bagi memulihkan industri pelancongan rentas sempadan secara menyeluruh di Hong Kong meskipun program pemvaksinan COVID-19 mula dilancarkan di kebanyakan tempat di dunia.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya juga akan terus menggalakkan pelancongan tempatan yang menyasarkan pelancong berpendapatan tinggi, di samping meningkatkan skim subsidi, memberi bantuan kepada agensi pelancongan dan mengekalkan populariti Hong Kong di arena antarabangsa. – Bernama