10 ditahan anjur pesta di rumah sewa

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Seramai 10 individu telah ditahan oleh anggota Balai Polis Bandar Seri Begawan (BSB), Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) kerana dipercayai telah mengadakan pesta perkumpulan di sebuah rumah sewa di Kampung Kiarong hari ini sekitar 1:30 pagi.

Antara yang ditahan ialah sembilan orang perempuan dan seorang lelaki berumur dalam lingkungan 16 hingga 29 tahun dan beberapa individu berjaya melarikan diri. PPDB kini sedang berusaha menjalankan siasatan bagi menjejaki individu berkenaan.

Semasa serbuan tersebut, PPDB telah menjalankan pemeriksaan terhadap rumah sewa tersebut dan menemukan barang tegahan iaitu sebanyak enam botol minuman keras.

Kesemua barangan bukti telah dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, keanggotaan Balai Polis Kuala Belait telah menahan enam orang lelaki warganegara asing 22 September lalu sekitar 5:37 petang, kerana langgar Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 yang melibatkan perkumpulan bermain bola sepak di kawasan belakang sebuah hotel penginapan di Jalan Maulana, Kuala Belait.

Mereka yang ditahan berumur lingkungan 24 hingga 36 tahun dan kesemuanya segera dibawa bagi menjalani ujian saringan dan seterusnya akan dijalankan siasatan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Sehubungan itu, PPDB menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi dan mengikuti segala peraturan yang ditetapkan bagi membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

PPDB turut menegaskan bahawa pihaknya amat tegas dalam menjalankan tindakan dan tidak akan berkompromi dalam soal pelanggaran undang-undang dan akta yang telah dikuatkuasakan. 

Antara barang tegahan yang ditemui semasa serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, awal pagi kelmarin.
Antara barang tegahan yang ditemui semasa serbuan yang dilakukan oleh pihak berkuasa, awal pagi kelmarin.