10 ditahan sindiket pelaburan haram

KUALA LUMPUR, 16 JULAI – Polis menahan sembilan lelaki dan seorang wanita yang disyaki terlibat dengan sindiket pelaburan menggandakan wang dikenali sebagai i-Rakyat Trade, dalam beberapa serbuan sekitar bandar raya sejak dua hari lepas.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata kesemua suspek yang berumur antara 19 dan 31 tahun itu ditahan dalam serbuan di sekitar Jalan Off Klang Lama, Sri Petaling dan Dang Wangi, di sini.

Beliau berkata sehingga kini, polis telah membuka 22 kertas siasatan membabitkan sindiket penipuan dalam talian itu, yang mengaku kononnya membuat pelaburan dalam bidang minyak dan gas di peringkat antarabangsa.

“Polis turut merampas enam kenderaan mewah termasuk Lamborghini, Alphard, Vellfire serta Mercedes; dan beberapa peralatan lain seperti komputer riba dan telefon bimbit, serta pelbagai jenis mata wang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurutnya sindiket yang beroperasi di Lembah Klang itu mempromosikan pelaburannya melalui laman web http://m.facebook.com/irakyattrader/ sejak bulan Mac lepas dan dipercayai telah mengaut keuntungan kira-kira RM200,000 daripada mangsa.

Saiful Azly berkata sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menawarkan empat pakej pelaburan yang boleh mendapat pulangan dalam tempoh masa yang amat pantas.

“Menerusi pakej Gold, dengan bermodalkan RM800, pelanggan akan mendapat pulangan RM10,800; pakej Diamond pula dengan modal RM1,600 boleh dapat pulangan RM21,600; Emerald dengan modal RM2,400 akan mendapat pulangan RM32,400, dan Platinum dengan bermodalkan RM4,800 pelanggan akan mendapat pulangan RM54,000,” katanya. – Bernama

Sebahagian barangan rampasan yang dipamerkan pada sidang media khas mengenai pelaburan dalam talian di sini kelmarin. Polis menerima sejumlah 672 laporan melibatkan kes penipuan pelaburan bersindiket dengan jumlah kerugian lebih RM93 juta bagi tempoh awal Januari tahun ini sehingga semalam, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil CP Datuk Saiful Azly Kamaruddin pada sidang media khas mengenai pelaburan dalam talian. – Bernama