Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 NOV – Sepuluh orang peserta telah mengikuti Sijil Tahap 1 Kursus Kejurulatihan Komuniti Gol Brasil Futsal di Bangunan PGGMB, Jalan Kianggeh, kelmarin.
Kursus selama tiga hari itu telah disampaikan oleh Haji Puspa bin Haji Mohammad, pelatih tempatan bertauliah oleh Gol Brasil. Aspek teori telah diajar pada hari pertama kursus manakala hari-hari berikutnya diadakan dalam bentuk praktikal.
Kursus tersebut bertujuan untuk menyambung semula aktiviti yang telah tergendala selama dua tahun kerana pandemik COVID-19, selain melahirkan jurulatih yang efektif dan berkualiti, memperkenalkan kaedah baharu serta memberi pendedahan kepada perkembangan terkini dunia futsal.
Antara perkara yang diajar semasa kursus tersebut ialah asas pertukaran, prinsip tendangan, dan prinsip pengawalan bola.
Peserta juga dapat menambah ilmu kemahiran menggelecek, prinsip hantaran bola, dan asas sokongan antara para pemain.
Majlis pembukaan kursus tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Eksekutif Syarikat Institut Gol Brasil Futsal, Muhd Nurasfa Nabihan Hakeem bin Haji Puspa.