10 hari bina hospital untuk mangsa virus?

BEIJING, 24 JAN – China bergegas untuk membina sebuah hospital baharu dalam tempoh 10 hari untuk merawat pesakit tatkala dunia sedang berdepan dengan wabak maut yang telah mengorbankan puluhan orang dan menjangkiti ratusan penduduk di beberapa buah negara, lapor media negara itu semalam.

Kemudahan yang dibina di pusat bandar Wuhan itu dijangka akan digunakan pada 3 Februari untuk merawat peningkatan jumlah pesakit yang dijangkiti oleh koronavirus yang telah menyebabkan sekurang-kurangnya 26 orang maut dan berjuta-juta lagi ‘dikurung’ dalam usaha untuk mengekang penyebarannya.

Berpuluh-puluh penggali dan trak dirakam sedang bekerja di kawasan pembinaan itu oleh penyiar negara CCTV.

Kemudahan itu nanti akan memiliki kapasiti 1,000 katil dengan keluasan lebih 25,000 meter persegi, kata agensi berita rasmi Xinhua.

Pembinaan itu bermula selepas timbulnya laporan berkenaan dengan keadaan hospital yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung pesakit yang dijangkiti wabak berkenaan, yang kini telah menjangkiti 830 orang di seluruh China.

Xinhua berkata kemudahan baharu ini bertujuan untuk ‘mengurangkan kekurangan sumber rawatan perubatan dan meningkatkan keupayaan untuk menjaga pesakit.’

Hospital Xiaotangshan terdiri daripada struktur pasang siap dan Xinhua melaporkan hari ini bahawa Wuhan sedang membina kemudahan baharu berdasarkan model yang sama. – AFP

Gambar yang diambil dari udara menunjukkan mesin pengorek dilihat di tapak pembinaan sebuah hospital baharu yang sedang dalam pembinaan di Wuhan, kelmarin. – AFP