10 kakitangan concepts jalani latihan HSE

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Dengan keselamatan orang awam menjadi kebimbangan global pada 2020, latihan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) merupakan satu perkembangan yang positif kepada mereka yang berdepan dengan orang awam.

Oleh itu, Kumpulan Syarikat Concepts mendapatkan khidmat Berjaya Aman Sdn Bhd untuk menerapkan ilmu pengetahuan kesihatan dan keselamatan mengenai pengurusan risiko serta bahaya yang wujud dalam pelbagai kawasan perniagaan runcit IT.

Ke arah itu, Kumpulan Syarikat Concepts dan Berjaya Aman Sdn Bhd menandatangani perjanjian kerjasama yang dimeterai dalam majlis yang berlangsung di Bilik Persidangan, Concepts Computer, Kiulap, hari ini.

Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi Kumpulan Syarikat Concepts ialah Pengurus Besar Kumpulan Concepts, Vincent Pao dan Ketua HSE, Kumpulan Syarikat Concepts, Jovie Folloso dan Berjaya Aman Sdn Bhd diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Awang Mohd Rufian bin Pengarah Haji Abdul Rahman dan Pengurus Besar, Pui Chin Siong.

Vincent Pao memberitahu pihak media bahawa pihaknya adalah amat komited terhadap pembangunan kakitangan mereka dan ke arah itu, telah melantik 10 orang kakitangannya untuk dilatih di bawah Berjaya Aman Sdn Bhd.

Beliau menyatakan harapan menerusi sesi latihan HSE yang disertai oleh kakitangan berkenaan, ia akan membantu Kumpulan Concepts untuk mencapai matlamatnya bagi bukan sahaja memberikan perkhidmatan jualan yang cemerlang tetapi juga memastikan keselamatan orang ramai.

Manakala itu, Jovie berkata bahawa latihan HSE itu bukan sahaja disertai oleh kakitangan bahagian jualan tetapi juga kakitangan pentadbiran serta perkhidmatan teknikal.

Beliau menambah bahawa keselamatan adalah satu amalan yang harus terus ditekankan, oleh itu, Concepts akan mempunyai latihan yang berterusan pada masa akan datang.

Vincent Pao (dua dari kiri) dan Awang Mohd Rufian (dua dari kanan) menandatangani perjanjian kerjasama di antara Kumpulan Syarikat Concepts dan Berjaya Aman Sdn Bhd, kelmarin.