10 kali lebih besar stesen MRT biasa

SINGAPURA, 24 JAN – Sistem Transit Rapid (RTS) Stesen Woodlands North di Singapura adalah kira-kira 10 kali lebih besar berbanding ukuran biasa stesen Transit Aliran Massa (MRT), kata Menteri Pengangkutan republik itu Ong Ye Kung.

Beliau berkata ini ialah kerana stesen itu akan merangkumi bangunan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang membolehkan pelancong diperiksa dan disahkan oleh CIQ Singapura dan Malaysia pada satu hentian.

Singapura pada Jumaat telah merasmikan Laluan RTS Johor Bahru – Singapura di tapak Woodlands North, tepat dua bulan selepas Malaysia mengadakan majlis pecah tanah di tapak Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin Bukit Chagar pada 22 November 2020.

Ong berkata majlis itu menandakan permulaan kerja infrastruktur untuk menghubungkan Singapura dan Johor Bahru melalui LRT, yang lebih hampir dengan MRT berkapasiti sederhana.

“Ini adalah projek dua hala yang signifikan antara Singapura dan Malaysia, yang akan menguntungkan kedua-dua negara dan membantu meredakan kesesakan di Tambak,” kata Ong di laman Facebook rasminya pada Jumaat. – Bernama