Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    10 keluarga mualaf terima infak

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 MAC – Sebanyak 10 buah keluarga mualaf di Daerah Brunei dan Muara telah menerima sumbangan infak dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Infak Projek Fathul Barakah 3.0 yang berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kampung Pulaie, hari ini.

    Sumbangan berkenaan telah diserahkan kepada para penerima oleh Pemangku Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    Pada majlis berkenaan, Ketua Bahagian Pembangunan Mualaf, Dr Hajah Rohanita binti Haji Yaakub dalam kata alu-aluannya menyatakan, Projek Fathul Barakah 3.0 dilaksanakan bertujuan untuk sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan dalam menyediakan keperluan harian keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna.

    Beliau menambah, projek itu juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan persaudaraan dan mengeratkan lagi silaturahim khususnya bagi persatuan-persatuan mualaf di seluruh negara dengan warga PDI dalam sama-sama melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan untuk kesejahteraan para mualaf di negara ini.

    Majlis telah diteruskan dengan penyampaian sumbangan infak serta poster tarbiyah, Amalan di Bulan Ramadan, hasil daripada kolaborasi bersama Bahagian Kajian dan Penerbitan, kepada para penerima secara pandu lalu oleh Haji Ahmad Abdussalam.

    Dr Hajah Rohanita menyampaikan kata alu-aluannya di majlis yang berlangsung di PDI, Kampung Pulaie, kelmarin.
    Haji Ahmad Abdussalam menyampaikan sumbangan infak kepada keluarga mualaf di Daerah Brunei dan Muara pada majlis yang berlangsung di PDI, Kampung Pulaie, kelmarin.

    Penyerahan itu akan diteruskan oleh PDI dan Unit Dakwah di daerah-daerah dengan mengunjungi rumah-rumah mualaf.

    PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama Persatuan Mualaf Seluruh Negara telah melaksanakan Projek Fathul Barakah 3.0 pada 5 dan 6 Mac lalu bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk sama-sama memberi infak berupa barangan asasi untuk keperluan mualaf yang memerlukan.

    Sebanyak 400 infak telah berjaya dikumpulkan melalui projek berkenaan yang diadakan secara pandu lalu serentak di keempat-empat daerah, iaitu di PDI, Kampung Pulaie serta di pejabat-pejabat unit dakwah di setiap daerah.

    Projek itu bermatlamat bagi sama-sama melaksanakan kerja-kerja berkebajikan untuk kesejahteraan para mualaf di Negara Brunei Darussalam, di samping mengeratkan hubungan ukhuwah antara persatuan-persatuan mualaf seluruh negara dengan PDI.

    Ia juga sebagai satu dakwah bil mal dalam memeduli perkembangan kehidupan, kebajikan serta penghayatan agama Islam asnaf mualaf di negara ini supaya terus dapat melaksanakan ibadah dengan lebih sempurna, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan yang akan tiba.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...