10 Kereta terbiar ditarik dalam OPS bersepadu

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JPD

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Sebanyak 10 buah kereta terbiar telah ditarik oleh agensi-agensi penguat kuasa semasa Operasi Bersepadu Bersih ke-17 yang dijalankan di beberapa kawasan, baru-baru ini.

Operasi memindah atau membersihkan kenderaan-kenderaan yang terbiar itu dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JPD, di sini, hari ini, operasi kali ini telah dijalankan di beberapa buah kawasan di bawah kawalan Jabatan Bandaran khususnya di Simpang 574, Kampung Madewa, Jalan Bunut, kawasan Batu Satu, Jalan Tutong, Kawasan Komersial Kiulap, Simpang 5, Kampung Menglait Utara dan kawasan letak kereta komersial, Kampung Menglait.

Sebelum operasi tersebut dijalankan, sebanyak 54 surat telah dikeluarkan kepada pemilik-pemilik kenderaan terbiar yang telah dikenal pasti dengan memberi tempoh selama 14 hari bagi pemilik memindah kenderaan-kenderaan berkenaan.

Selepas tempoh berkenaan, sebanyak 44 buah kenderaan terbiar telah dipindahkan oleh pemilik-pemilik kenderaan dan sebanyak 10 buah kenderaan telah ditarik oleh agensi-agensi penguat kuasa operasi bersepadu berkenaan di mana kenderaan berkenaan telah dipindah ke tempat simpanan bagi proses seterusnya.

Sekali lagi, JPD menasihatkan pemilik-pemilik kenderaan agar tidak meninggalkan kenderaan-kenderaan mereka secara terbiar bagi tempoh yang lama di tempat awam seperti di kawasan komersil, letak kereta dan bahu jalan raya.

Kegagalan dalam mematuhi perkara itu, agensi-agensi Operasi Bersepadu Bersih akan mengambil tindakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu surat notis akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan terbiar bagi memindahkan kenderaan mereka dalam tempoh 14 hari dan kenderaan terbiar yang tidak dipindah selepas tempoh berkenaan akan ditarik atau dipindahkan oleh syarikat-syarikat yang dilantik oleh agensi-agensi Operasi Bersepadu Bersih ke tempat simpanan yang dikenal pasti. Pemilik yang ingin menuntut kenderaan mereka setelah kenderaan itu ditarik, hendaklah menghubungi JPD bagi proses tuntutan, sebarang kos tuntutan termasuk kos penarikan adalah tanggungjawab pemilik dan hendaklah dibayar terus kepada syarikat-syarikat yang berkenaan serta kenderaan-kenderaan terbiar yang tidak dituntut dalam tempoh tiga bulan akan dilupuskan dan rekod pendaftaran kenderaan berkenaan akan dihapuskan daripada data pendaftaran Sistem Pengangkutan Darat (SPD).

Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi JPD di talian 2451979/80/87 sambungan 111 pada waktu pejabat, e-mel [email protected], menghubungi Talian Darusalam 123, melalui aplikasi WhatsApp Talian Darussalam 8333123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam www.123.gov.bn.

Kenderaan-kenderaan terbiar dipindahkan oleh pihak penguat kuasa semasa Operasi Bersepadu Bersih ke-17 pada 15 Oktober lalu.
Antara anggota agensi penguat kuasa yang menyertai operasi tersebut.