10 kes COVID-19 dikesan dalam kapal persiaran

MIAMI, 5 DIS – Sebanyak 10 kes COVID-19 dikesan dalam kalangan kru dan penumpang kapal persiaran Norwegian Cruise Line (NCL), yang belayar dari New Orleans, hari ini.

“Norwegian Breakaway yang belayar dari New Orleans, 28 November lalu juga pernah berhenti di Belize, Honduras dan Mexico.

“Lebih 3,200 orang berada dalam kapal persiaran itu,” kata Jabatan Kesihatan Louisiana, menerusi Twitter, semalam.

Jabatan itu berkata, setiap individu di atas kapal itu akan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dibenarkan keluar.

“Mana-mana yang disahkan positif COVID-19 akan sama ada pulang ke kediaman peribadi menggunakan kenderaan sendiri atau menjalani kuarantin di tempat tinggal yang disediakan, mengikut garis panduan semasa (Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat),” katanya.

Ketika pelbagai maklumat belum diketahui mengenai virus berkenaan pada Februari 2020, sebuah kapal persiaran, ‘Diamond Princess’ dikuarantin di luar pesisir Jepun. – AFP

Gambar fail menunjukkan orang awam melihat kapal persiaran Norwegian Breakaway di Sungai Hudson, di New York. Sepuluh kes COVID-19 dikesan dalam kalangan kru dan penumpang Norwegian Cruise Line yang belayar dari New Orleans, kelmarin. – AP.