10 lagi pelanggan BIBD terima ganjaran

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Mei – Seramai 10 orang pemenang bulanan bagi Program Ganjaran Aspirasi BIBD menerima hadiah mereka pada Majlis Penyampaian Hadiah Bulanan Program Ganjaran Aspirasi BIBD yang berlangsung di Ibu Pejabat BIBD, di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, di sini, hari ini, hadiah berjumlah keseluruhan $25,000 telah disampaikan kepada 10 orang pemenang di mana setiap pemenang membawa pulang hadiah $2,500 yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Operasi BIBD, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan.

Kenyataan itu menjelaskan lagi bahawa dengan penyampaian hadiah kepada 10 orang pemenang itu, ia menjadikan jumlah pemenang keseluruhan seramai 64 orang dengan hadiah keseluruhan berjumlah $250,000 diberikan sejak pelancaran program berkenaan.

Program Ganjaran Aspirasi BIBD merupakan sebuah program yang unik di mana ia tidak mempunyai sebarang tarikh tutup di mana para pelanggan adalah layak bagi hadiah berkenaan termasuk hadiah utama tahunan berjumlah $250,000, asalkan mereka mengekalkan penyertaan mereka dengan membuat simpanan dalam BIBD Aspirasi.

Di samping berpeluang memenangi hadiah bulanan, para pelanggan juga berpeluang untuk memenangi hadiah suku tahun berjumlah $25,000.

Sepuluh pemenang bulanan Program Ganjaran Aspirasi BIBD bergambar ramai sempena majlis penyampaian hadiah di Ibu Pejabat BIBD,kelmarin. – Gambar BIBD

Tarikh bagi cabutan untuk para pemenang diumumkan menerusi saluran rasmi BIBD dan pelanggan-pelanggan yang terus kekal membuka akaun Aspirasi BIBD mereka bagi sekurang-kurangnya 90 hari sehingga cabutan berkenaan adalah layak bagi hadiah-hadiah bulanan dan suku tahunan.

Kenyataan pusingan cabutan pemenang bulanan dan suku tahunan seterusnya akan diadakan pada Jun nanti. Mereka yang melanggan sejak pelancaran program berkenaan sehingga 11 Mac 2019 adalah layak bagi hadiah suku tahunan berkenaan.

Walau bagaimanapun, kenyataan menyatakan bahawa bagi mereka yang berminat untuk menyertai program pelaburan itu, mempunyai sehingga akhir Jun untuk melanggan dan masih berpeluang untuk memenangi hadiah-hadiah bulanan dan utama.

Kenyataan memetik, Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Md Jaafar berkata bahawa dengan sokongan daripada pelanggan dan masyarakat Brunei, program itu terus kekal berjaya dan para pemenang memahami pentingnya program yang mempunyai banyak manfaat serta membantu warga Brunei mengamalkan tabiat menyimpan.

Beliau menambah bahawa BIBD amat gembira kerana berpeluang untuk memperkenalkan sebuah program yang menyokong agenda negara untuk menjana sebuah masyarakat yang celik kewangan di Brunei.

Beliau menyatakan lagi bahawa adalah tidak terlambat untuk bermula menyimpan bagi merealisasikan aspirasi mereka kerana program itu hanya memerlukan para pelanggan untuk memulakan simpanan mereka dengan hanya $500 dan untuk mengekalkan pelaburan mereka dalam Aspirasi BIBD bagi sekurang-kurangnya 90 hari sebelum setiap tarikh cabutan.