10 Lagi produk tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan 10 produk kesihatan yang mana hasil daripada ujian makmal telah didapati dicemari dengan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

Produk-produk tersebut adalah V9 Male Sexual Stimulant Pills 6800mg (Blue Tablet), dikilangkan Hong Kong Golden Dragon Biotechnology Co Ltd yang dicemari Sildenafil dan Lidocaine; Hypon Viagra Tablet 6800mg, dikilangkan Hong Kong Wan-Sheng Biochemical & Health Products Co Ltd, yang dicemari Sildenafil, Tadalafil dan Acetaminophen.

MMC Maxman IV Capsule 3000mg (Black Round Pill) oleh Qinghai Province Xining City Ailida Biotechnology Co Ltd pula dicemari Sildenafil dan Tadalafil.

Manakala itu, Men’s King 6800mg Pills (Green Tablet) oleh Hong Kong Golden Dragon Biotechnology Co Ltd; Black Gorilla Pills 6800mg oleh Hong Kong Hongwei Bioengineering Company; MMC Maxman IV Capsule 3000mg (White Capsule) oleh Qinghai Province Xining City Ailida Biotechnology Co Ltd; Germany Renal Treasure Tablet 6800mg oleh Xizang Jin Shengli Health Products Co Ltd; Bed Overload Tablet 6800mg oleh Xizang Jin Shengli Health Products Co Ltd; Tyrannosaurus Tablet 3800mg oleh Hong Kong Hongwei Bioengineering Company dan Viagra America Long Effect Tablet 2800mg oleh Hong Kong Tianli Biological Technology International Group Co Ltd pula dicemari Slidenafil.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Men’s King 6800mg Pills (Green Tablet).
Viagra America Long Effect Tablet 2800mg.
Black Gorilla Pills 6800mg.
Tyrannosaurus Tablet 3800mg.
MMC Maxman IV Capsule 3000mg (White Capsule & Black Round Pill).
Bed Overload Tablet 6800mg.
Hypon Viagra Tablet 6800mg.
V9 Male Sexual Stimulant Pills 6800mg (Blue Tablet).
Germany Renal Treasure Tablet 6800mg.

Kenyataan menjelaskan, Tadalafil dan Sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor.

Antara kesan-kesan sampingan apabila mengambil ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening. Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan. Lidocaine pula adalah sejenis anaesthesia (ubat bius) yang mana kesan sampingannya adalah pening, kebas, kekeliruan, masalah pernafasan, tekanan darah menurun, degupan jantung yang perlahan dan hipersensitiviti.

Acetaminophen atau Paracetamol digunakan untuk menahan sakit dan mengurangkan demam panas yang mana apabila penggunaan berlebihan boleh membawa kepada kerosakan hati, kegagalan organ buah pinggang, koma dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Kenyataan menekankan, Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam. Orang ramai yang telah membeli atau mengambil produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pengunaannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas memakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan 12 bulan penjara.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai komplians dan perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.