Sunday, January 26, 2025
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    10 maut, 2 hilang dalam banjir, tanah runtuh di Sukabumi

    SUKABUMI, 9 DIS – Pasukan penyelamat Indonesia menemui 10 mayat yang dihanyutkan banjir kilat atau tertimbus di bawah lumpur dan batu di perkampungan berbukit di Pulau Jawa, kata pegawai setempat, hari ini, manakala dua lagi mangsa masih dilaporkan hilang.

    Hujan lebat sejak minggu lalu menyebabkan sungai melimpah hingga menenggelamkan lebih 170 kampung di daerah Sukabumi, Jawa Barat, manakala lumpur, batu dan pokok-pokok yang tumbang menghempap penempatan di lereng bukit, kata ketua pos komando penyelamat di Sukabumi, Leftenan Kolonel Yudi Hariyanto.

    Tanah runtuh, banjir kilat dan angin kencang telah memusnahkan 172 kampung dan memaksa lebih 3,000 orang berlindung di pusat penempatan sementara kerajaan, jelas Hariyanto. Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada hampir 1,000 orang untuk berpindah kerana lebih 400 rumah terancam akibat cuaca ekstrem.

    Bencana itu turut memusnahkan 31 jambatan, 81 jalan, dan 539 hektar sawah padi, sementara 1,170 rumah dinaiki air sehingga ke bumbung. Lebih 3,300 rumah dan bangunan lain turut rosak akibat cuaca buruk, menurut Badan Pengurusan Bencana Daerah.

    Setakat hari ini, pasukan penyelamat menemui 10 mayat di kampung paling teruk terjejas, iaitu Tegalbuleud, Simpenan dan Ciemas, termasuk tiga kanak-kanak. Manakala usaha mencari dua penduduk yang masih hilang masih diteruskan, kata Hariyanto.

    Video yang tersebar di media sosial menunjukkan banjir kilat akibat hujan lebat di Sukabumi menghanyutkan hampir segalanya, termasuk kereta, motosikal, kerbau dan lembu.

    Rakaman video yang dikeluarkan oleh Agensi Mencari dan Menyelamat Jawa Barat menunjukkan jalan raya berubah menjadi sungai berlumpur, sementara sebahagian kampung dilitupi lumpur tebal, batu dan pokok yang tumbang ketika askar, polis dan pasukan penyelamat dilihat menarik mayat yang berselaput lumpur dari sebuah perkampungan yang musnah. – AP

    Pasukan penyelamat membersihkan runtuhan rumah-rumah yang rosak di kawasan kejiranan yang terjejas akibat tanah runtuh di Sukabumi, Jawa Barat, Indonesia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda