10 maut, 30 hilang tanah runtuh di Nepal

KATHMANDU, NEPAL, 10 JULAI – Tanah runtuh di Nepal yang dicetuskan oleh hujan lebat hari ini telah membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan menyebabkan 30 lagi yang lain hilang, kata pegawai.

Tujuh orang meninggal dunia ketika tanah runtuh melanda tiga tempat berasingan di sekitar bandar peranginan Pokhara, kata pegawai polis Subash Hamal. Pokhara, 200 kilometer (125 batu) sebelah barat ibu kota, Kathmandu, terkenal di kalangan pelancong dan berfungsi sebagai pangkalan bagi para pendaki yang menuju ke laluan gunung.

Di utara Pokhara, tanah runtuh melanda dua kampung di daerah Myagdi, merosakkan 37 rumah. Pentadbir kerajaan Mahesh Subedi berkata, setakat ini tiga mayat telah ditarik keluar tetapi 30 lagi lainnya masih hilang.

Akses kepada laluan jalan raya juga tersekat akibat tanah runtuh, menyebabkan usaha menyelamat sukar dilakukan tatkala hujan lebat masih berterusan sekali gus menyukarkan penyelamatan dari ruang udara. Tanah runtuh sering terjadi di negara Himalaya pada musim tengkujuh yang bermula pada bulan Jun dan terus berlangsung hingga September. – AP

Penduduk dan anggota penyelamat memeriksa kawasan di luar rumah yang rosak akibat tanah runtuh di salah satu daerah sekitar 80km timur laut Kathmandu pada 9 Julai. Tanah runtuh di Nepal yang dicetuskan oleh hujan lebat kelmarin telah membunuh sekurang-kurangnya 10 orang dan menyebabkan 30 lagi yang lain hilang. – AFP