10 maut, 30 lagi cedera dalam nahas bas

ISTANBUL, 26 JUN – Sepuluh pendatang tanpa izin terbunuh hari ini dan 30 cedera apabila pemandu sebuah bas mini enggan mematuhi satu arahan untuk berhenti dan merempuh ke dalam sebuah kedai di barat laut Turki, kata pegawai tempatan dan media.

Pemandu itu tidak menghiraukan satu arahan oleh pegawai keselamatan untuk berhenti, sebaliknya memecut laju dan merempuh ke dalam sebuah kedai berhampiran sempadan Greece, kata pejabat gabernor wilayah Edirne dalam satu kenyataan.

Agensi berita DHA berkata terdapat 40 orang dalam bas mini. Kesemua 30 mangsa yang selamat mengalami kecederaan.

Kerakyatan pendatang tanpa izin masih tidak diketahui.

Penghijrah yang melarikan diri daripada perang dan kemiskinan menggunakan Turki sebagai negara transit untuk sampai ke Eropah. – AFP