10 maut diserang lelaki bersenjata

ABUJA, 15 JUN – Sekurang-kurangnya 10 penduduk kampung terbunuh manakala ramai lagi cedera dalam kejadian serangan bersenjata di Benue, Nigeria semalam, lapor agensi berita Anadolu.

Pengerusi majlis Agatu, Usman Suleiman berkata kepada media tempatan lelaki bersenjata tidak dikenali menyerang penduduk kampung yang dalam perjalanan balik dari ladang.

Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital dan anggota keselamatan turut dikerahkan ke lokasi kejadian.

Beberapa insiden keganasan dilaporkan berlaku di Benue berikutan pertembungan antara etnik Fulani dan suku kaum lain yang terlibat dengan pertanian. – Bernama