TEHRAN, 27 DIS – Satu siri runtuhan salji di Iran membunuh 10 orang di kawasan pergunungan utara ibu negara, menurut laporan TV kerajaan hari ini.
Laporan mengatakan pasukan penyelamat kini sedang mencari sejumlah lagi orang yang hilang selepas runtuhan salji melanda empat kawasan berlainan. TV kerajaan menyiarkan rakaman kru kecemasan menggunakan helikopter mencari mereka yang masih hilang dan dikhuatiri cedera. Insiden itu mula berlaku pada Jumaat susulan angin kencang dan turunan salji awal sebelumnya. Kawasan pergunungan Alborz di mana runtuhan salji berlaku, merupakan kawasan popular hujung minggu bagi aktiviti mendaki dan hiking. Runtuhan salji maut merupakan suatu fenomena yang jarang di Iran. Dalam 2017, dua runtuhan salji meragut 11 nyawa pendaki. – AP






























