SHAH ALAM, 1 Jan – Seramai 10 orang melecur akibat terkena letupan bunga api di majlis sambutan tahun baharu di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang malam tadi.
Difahamkan kejadian dipercayai berpunca apabila bunga api yang digunakan meletup sebelum ia berada di udara dan mengenai mereka yang berhampiran.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata, tiga mangsa melecur teruk manakala tujuh yang lain melecur ringan di kaki.
“Yang melecur ringan diberi rawatan oleh pasukan perubatan di tempat kejadian sementara yang melecur teruk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut,” katanya.
Seorang saksi, Nadia Hassan, 30 berkata, pertunjukan bunga api sempena sambutan Tahun Baharu 2017 di tapak Fiesta Gegar Klang di padang Kompleks Sukan Pandamaran itu, terhenti seketika sebelum bunga api dilihat meletup dan mencederakan beberapa penonton yang berkumpul menyaksikan pertunjukan itu.

Beliau yang membuka gerai haiwan terletak kira-kira 20 meter dari tempat kejadian berkata, letupan bunga api pertama berjalan lancar tanpa sebarang masalah, namun letupan kedua dan ketiga dilihat menuju ke arah penonton.
“Ketika itu, semua penonton berlari ke belakang untuk berlindung, banyak juga barang di gerai saya jatuh dilanggar penonton,” katanya kepada Bernama di sini.
Pertunjukkan bunga api itu merupakan sebahagian daripada program fiesta anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) yang berlangsung dari 30 Dis hingga hari ini.
Selain pertunjukan bunga api, program-program lain yang dijadualkan sepanjang fiesta itu antaranya, jualan gerai; food truck; persembahan badut; persembahan motosikal; senamrobik perdana dan kayuhan santai basikal.
Difahamkan bunga api yang digunakan meletup sebelum ia berada di udara.
Seorang lagi saksi, Radin Mohd Fasbillah, 18, yang bekerja di gerai sama pula berkata ketika kejadian, penonton pertunjukan bunga api dilihat dalam keadaan bersesak sesak dan kedudukan mereka agak hampir dengan lokasi pertunjukan itu.
“Di hadapan gerai saya bekerja ini penuh dengan pengunjung, kedudukan gerai dengan lokasi pertunjukan bunga api dalam 20 meter.
“Bila bunga api itu mula tumbang semua orang lari bertempiaran, ada yang terjatuh,” katanya.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengumumkan bahawa mereka akan menubuhkan pasukan siasatan dalaman bagi menyiasat insiden letupan bunga api yang mencederakan 14 pengunjung ketika sambutan ambang Tahun Baharu 2017 itu.
Yang Dipertua MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata pihaknya akan menanggung kos rawatan mangsa yang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah sebagai pesakit luar.
Katanya mangsa telah dibenarkan pulang pagi ini.
“Kami juga akan membuat pemantauan susulan terhadap mangsa sehingga mereka sembuh sepenuhnya. MPK memohon maaf kepada mangsa dan pengunjung yang hadir ekoran kejadian di luar jangkaan ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – Bernama