10 menang hadiah menarik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 NOV – Sepuluh orang pemenang bertuah membawa pulang pelbagai hadiah dalam cabutan bulanan pertama Kuiz SMS Win a FABULAR yang berlangsung di Setia Motors Sdn Bhd, Beribi, hari ini.

Pada majlis itu, Dayang Siti Adawiyah memenangi hadiah utama berupa telefon bimbit Huawei Y7 Prime tajaan Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif).

Sementara itu, sembilan yang lain membawa pulang hadiah-hadiah menarik seperti kad tambah nilai, baucar makan di restoran-restoran tempatan, baucar pembelian minyak kereta dan bermacam-macam lagi.

Hadir bagi melakukan cabutan undian dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang bertuah ialah perwakilan-perwakilan rakan kongsi serta penaja kuiz berkenaan.

Mewakili Setia Motors Sdn Bhd ialah Pengurus Jualannya, Awang Fadhillah Sulaiman, sementara itu Progresif diwakili oleh Awang Iskandar Zulkifli dan Snapfeed diwakili Pengurus Besarnya, Farah.

Kuiz yang dianjurkan Cooltones bersama Progresif ini berjalan selama enam bulan bermula September hingga lewat Februari 2020, dengan 30 orang akan dipilih bagi cabutan bulanan.

Pelbagai hadiah menarik ditawarkan bagi kuiz berkenaan termasuk tiket ke Korea dan Kuala Lumpur, telefon bimbit, baucar dan sebagainya.

Sementara itu pemenang hadiah utama akan membawa pulang Home Fabular atau wang tunai $12,888.

Para pemenang bersama warga Cooltones dan Setia Motors.